27/04/2011

hidup di atas bas

Semalam, pada waktu sekitar ini, saya sedang terpisat-pisat menahan kantuk, mengheret kaki menuruni bas yang sudah dikenderai selama beberapa jam untuk menukar ke bas yang lain pula. Nyaris tertinggal diari hitam dan sebuah buku ilmiah yang dikelek sebagai teman perjalanan. Terkejar-kejar berpatah balik mencari diari dan buku yang ditinggalkan tadi di dalam bas yang sudah dikosongkan... mujurlah tak kena marah.

Hajat mahu berdoa, munajat banyak-banyak sepanjang perjalanan pulang. Doa saat permusafiran, bukankah lebih ringan terbangnya? Insan yang diberati dosa seperti saya ini tentulah perlu memburu sebanyak mungkin saat-saat mustajab doa. Namun mata terlalu berat, bibir yang terkumat-kamit cepat saja kehilangan biji butir bicaranya apabila lena melanda tanpa dapat dihambat-hambat. Sementara bas meluncur laju membelah malam yang menganjak pantas juga menuju siang.

Sedar-sedar, sudah sampai Manchester Airport. Akhirnya tiba ke Chorlton Street. Jam empat pagi. Mana ada bas nak balik rumah. Saya menghitung-hitung, kalaulah dapat terus pulang, sempat juga tidur sejam dua sebelum mandi dan bersiap-siap ala kadar untuk ke klinik di Bury pagi nanti. Bukan dekat tu.

Di luar gelap gelita, ada beberapa orang pengembara - yang baru tiba, atau menanti perjalanan seterusnya - duduk-duduk, merayau-rayau, mungkin melayan lelap di atas bangku-bangku besi dalam stesen. Lebih baik melepak di sini daripada bersejuk gigil di perhentian bas menanti bas ke Rusholme yang entah bila akan mula berkhidmat.

Alhamdulillah, mata saya tidak berat lagi. Buku himpunan doa Fortress of a Muslim hadiah salah seorang kakak saya keluarkan dari beg tangan. Dah lunyai buku itu akibat diperosokkan dalam beg tangan dan dibawa ke mana-mana saja. Doa-doa dari hadith Nabi SAW, diikuti oleh permintaan-permintaan saya sendiri, sempat juga dititipkan kepada Tuhan dinihari tadi. Moga-moga keberkatan musafir dan kebeningan hujung malam masih berbaki.

Jam tujuh pagi, saya tewas juga dengan bantal sendiri. Hajat mahu terus bergerak ke Bury, tapi badan dan mata mahu tidur hingga jam sembilan. Perjalanan ke Bury, sejam setengah untuk pergi, sejam setengah untuk pulang, setiap kali menaiki tiga buah bas.

Hidup saya habis atas bas dan kaki yang berjalan saja nampaknya.

No comments:

Post a Comment