17/01/2012

bayangan syurga

Tempoh hari aku hadir usrah di Pusat Islam HUSM. Usrah dijadualkan bermula jam dua setengah, sampai aku lewat jam empat. Kerja hari itu habis jam dua, dan aku harus kembali ke hospital selepas jam sepuluh malam. Duduk dalam halaqah, bersama Muslimah berwajah bersih berpakaian labuh, aku tersengguk- sengguk melawan kantuk mendengar bicara huraian kitab Fiqh Manhaji Imam Shafi'e.

Perhatianku sebenarnya leka beralih-alih kepada pucuk kelapa dibuai angin, langit biru bersih dan terang matahar yang nyaman, tersedia untuk dinikmati kami yang berlingkungan di beranda masjid.

Indahnya petang yang diciptakan Allah SWT. Kehidupan yang berjalan hari demi hari di bawah bumbung hospital, dalam kepungan dinding dewan bersalin yang diterangi lampu elektrik dan dinyamankan pendingin hawa 24 jam, atau dalam wad-wad yang tertutup dan sarat kalut, sampai aku terlupa tentang matahari yang riang, langit yang luas dan angin yang bebas.

Kadang-kadang, aku mengenang semula kehidupan zaman kanak-kanak. Ada halaman rumah yang lapang ayam itik dan angsa, langit tinggi terbuka, dan aku berlari- lari girang memanggil angin datang menerpa. Ada pokok jambu untuk dipanjat, kucing untuk dikejar, ada seribu satu cerita untuk diangankan dan dikarang dalam waktu senggang yang tidak berkesudahan.

Aku mengenang juga masa-masa manis sewaktu bergelar perantau di United Kingdom dahulu. Langit rendah seperti payung raksasa, sementara aku di bawahnya berlari-lari ke sana sini, turun naik kereta api kapal terbang dan feri, merayau-rayau ke toko buku mengenderai bas berjam-jam untuk pergi dan pulang hospital, lalu hujung minggunya dipenuhi oleh usrah dan aktiviti.

Tidak jarang juga, ketika bahang matahari Kelantan membakar dan aku terkebil- kebil kesilauan, wajahku terasa garing, datang kerinduan kepada cuaca di sana yang lebih mesra. Matahari lebih lembut, awannya lebih tebal Dan ya, di sana ada salji!

Mengapa hari ini, ketika ini, aku harus bekerja lelah berpuluh-puluh jam seminggu, sehingga kulit muka menjadi kusam pucat akibat pendingin hawa, mata cengkung tidak cukup rehat dan sendi-sendi lenguh berkejaran ke sana sini? Mengapa aku harus melayan bimbang dan stres mengenangkan penilaian kerjaya, dimarahi senior, pesakit kritikal yang tiba-tiba sawan ketika aku bertugas di tengah malam...

Mengapa aku harus menjadi doktor, yang ditempatkan pula di bahagian perbidanan dan sakit puan, yang terkenal dengan seniornya yang sering berleter, beban kerja yang dahsyat, dan kesukaran untuk lulus?

Mengapa aku bukan ahli farmasi, wartawan, atau guru? Mengapa aku bukan apa-apa sahaja, asal bukan pemegang karier yang gawat dan ruwet serupa ini?

Tuhan yang Maha Bijaksana, mengilhamkan untuk aku menemukan beberapa jawapan, di sebalik kenangan dan kerinduan ini.

Dia mengurniakan aku panas dan rimas dunia, supaya aku lebih rindu kepada dinginnya syurga.

Dia mengurniakan aku kalut dan keluh kesah kehidupan, supaya aku tahu menghargai kenyamanan dan ketenangan.

Dia mengurniakan aku penat dan lelah, supaya aku memahami mahalnya sebuah kerehatan.

Nyaman, tenang dan rehat sebenar, yang pastinya hanya ada selepas bergraduas daripada sekolah cabaran bernama dunia, yang perlahan-lahan sudah aku langkahi masuk ke peringkat seterusnya, selepas menyudahi alam persekolahan, universiti dan aktivisme mahasiswa.

Bijaksananya Tuhan tidak membiarkan aku hancur dan hanyut dalam keletihan namun diizinkanNya aku sesekali mengecap damai dan aman - ketika menghayun langkah pulang selepas hari kerja yang panjang, dan bulan mengambang penuh di langit ketika matahari petang tersenyum memayungi aku yang baru selesai bertugas semalaman penuh dan separuh hari sesudahnya, ketika keluargaku meluahkan kasih dan bangga akan amanah yang kini digalas anak gadis sulung mereka,

dan ketika aku diizinkan duduk berusrah di beranda masjid pada petang hari, sambil melihat pucuk kelapa hijau berkilau melenggok-lenggok dibuai angin sore berbau wangi.

Damai dan aman yang sesekali datang ini mengingatkan aku bahawa ada syurga yang maha bahagia dalam perjanjian Tuhan dengan hambaNya. Seperti umat Islam Andalus yang membina istana indah dengan taman dan air pancuran untuk mengingatkan mereka tentang gambaran syurga, begitulah kita di dunia ini, yang harus saja diingatkan terus kepada syurga, setiap kali melihat keindahan yang dipamerkan Allah SWT.

Kalaulah dunia ini yang tidak bererti apa-apa sudah begitu cantik dan menenangkan pada waktu-waktunya, apatah lagi syurga yang merupakan kemuncak anugerah buat hamba Tuhan yang berjaya?

Hidup yang pendek ini bukanlah untuk berehat-rehat. Kenikmatan yang diizinkan Allah, andai dilalaikan olehnya lalu hanyut dibuai keseronokan dan ketenangan dunia, maka mungkin hanya setakat itu sahaja indah yang layak buat kita. Mungkin tiada indah syurga yang menanti, kerana imbangan payah-mudah kita di dunia, tidak cukup untuk menghapuskan dosa, tidak padan untuk menambahkan pahala.

Seteruk mana pun kerja waktu oncall, akan habis juga, dan dapat pulang untuk tidur berpanjangan.

Selazat mana pun bersantai waktu cuti, akan tamat juga, dan esok perlu bangun awal untuk bekerja semula.

Lima tahun di luar negara berlalu dengan amat cepat.

Susah payah hidup, nanti akan selesai juga, dan selepas hayat berakhir, aku akan menoleh dan berasa bahawa sesungguhnya hayatku amat pendek dan sekejap.

Tuhan menjadikan zaman kanak-kanak yang indah dan manis buat kita, lalu ia berakhir dan kita menjadi dewasa, lalu dipertanggungjawabkan dengan seribu satu cubaan. Pantas kita berlari ke hadapan tersungkur rebah menangis namun terus terbongkok- bongkok mengutip redha Tuhan, dengan harapan dan sangka baik, agar sesudah sampai ke penghujung perjalanan, buku kehidupan ditutup, dan kita kembali semula kepada zaman yang indah dan manis, kali kali ini abadi tanpa kesudahan.

Sebelum tiba saat itu, bayangan-bayangan syurga yang diperlihatkanNya di dunia, adalah dugaan, dan motivasi buat kita. dunia, adalah dugaan, dan motivasi buat kita. motivasi buat kita.

Mohon wahai Allah, biar aku yang lemah kerdil lagi selalu lalai dan tewas ini, berjaya.