27/09/2012

kelekatu silau

Tahu kisah The Lovely Bones tulisan Alice Sebold? Novel popular kisah seorang gadis sunti, Susie Salmon, yang maut dibunuh setelah diganasi secara seksual, lalu rohnya memerhati konflik yang dilalui oleh keluarga dan sahabat-sahabatnya, hingga akhirnya penjenayah yang bertanggungjawab ditangkap dan ketenangan perlahan-lahan hadir kembali.

Adaptasi filemnya digarap oleh Peter Jackson - yes, the guy from the fame of LOTR dan King Kong - dan dikritik berat. Antara kritik yang dilemparkan, adalah gambaran bagaimana Susie diperlihatkan berada di 'syurga' yang begitu indah, damai, ceria dan berwarna-warni sambil memerhatikan pergolakan di dunia sepeninggalannya.

Paparan indah-indah seperti itu, kata pengkritik, menyebabkan simpati dan kengerian penonton terhadap jenayah seksual dan pembunuhan yang diperlakukan terhadap Susie, hilang. Malah diterbalikkan pula - seolah-olah keganasan itu adalah sesuatu yang baik, kerana ia membolehkan Susie pergi ke 'syurga' yang jauh lebih menggembirakan daripada alam nyata yang kalut. Tidak bagus, tidak bagus. Kesan emosi yang diharap-harapkan tidak tercapai, maka filem ini gagal!

Aduhai, bukankah agama dan iman akan mengajar kita, bahawa sememangnya kenyataan adalah begitu? Betapa getirnya nasib yang menimpa di dunia, ada bahagia yang menanti di sebelah sana. Sehingga berbekalkan keyakinan itu, manusia beriman menjadi begitu teguh, menempuh segala derita, menanggung sengsara dan seksa, kerana sudah terbayang-bayang lunaknya belaian Tuhan yang bakal mengganjari kesabaran.

Tapi kita, lebih cinta kepada dunia. Dunia nyata, memang lebih nyata buat mata-mata kita yang terhijab, sampai yang ghaib-ghaib itu kita ketepikan. Terus apabila diingatkan bahawa hidup selepas mati itu indah, kita melenting, kerana buat mata-mata kita yang terhijab, dunia inilah yang paling indah.

Dan kita akur, ada takut dan gerun yang amat, kerana banyaknya kita memikul dosa, dosa yang hanya akan tampak rupanya selepas kita meninggalkan dunia. Dosa yang boleh jadi menyebabkan Allah tidak mahu memandang kita ...

***

Semalam, waktu terlungkup lelap di atas meja kaunter wad - tewas oleh kelelahan walaupun berhasrat mahu secepat mungkin menyudahkan riwayat kes pesakit yang baru masuk waktu dinihari itu - aku bermimpi. Mimpi yang ganas, bukan manis-manis, tidak juga berbunga-bunga.

Malapetaka besar menimpa dunia. Dalam mimpi itu, aku berharap bahawa ini semua adalah mimpi, agar aku akan cepat terbangun dan selamat, tetapi aku sudahnya akur bahawa ia adalah kenyataan dan bukan mimpi. Lalu pesawat besar datang merempuh bangunan, gunung berapi meletus dan muntahan beracun melimpah dalam lautan.

Jasad manusia maut berapungan dalam lautan, entah bagaimana begitu hampir dengan tempat aku berada. Ketika aku menyedari bahawa tidak lama lagi aku juga akan menerima nasib yang sama dengan mereka, perasaanku bergilir ganti antara takut, gementar, dan teruja. Ya, teruja. Akhirnya, aku akan mengecap, bagaimana rasanya mati. Akhirnya, setelah menerima sekian banyak khabar, aku akan mengetahui sendiri bagaimana rupanya hidup selepas mati. Akhirnya, setelah sekian lama menanti, aku akan berjumpa Tuhan.

Mati rupa-rupanya lebih mengujakan daripada hidup yang meletihkan. The darkness, the unknown, it is frightening, but also tantalizing. In the dream I was nervous, but unafraid. Eager, even.

Aku meminta, ketika itu, bukan untuk diselamatkan atau dipanjangkan usia. Aku mohon agar mati dengan tenang, dengan terhormat, dengan redha, dengan cinta, lalu diterima Allah pulang sebagai hamba yang diredhai dan diampuni.

Kemudian, aku terbangun, melihat jam di dinding wad mencatat waktu merangkak pagi, dinihari makin tua, pesakit yang ada masih belum habis kuperiksa.

Aduhai, indahnya mimpi!

***

dunia ini penjara, untuk orang-orang beriman.

siapakah itu - mungkinkah aku,
sang kelekatu kesilauan
mengejar api lilin hingga terbakar sayap
sedangkan ia tahu
tenang yang sebenar
adalah dalam gelap

***

No comments:

Post a Comment