Satu elemen yang penting untuk pengkaryaan adalah watak. Seringkali sebelum memulakan sebuah cerita, aku perlu mengenali siapakah orangnya yang akan bercerita, siapakah yang akan diceritakan. Aku harus menyenanginya dan meminati dia sebelum aku mampu bercerita dengan suaranya, atau bercerita tentangnya.
SZCW yang sedang aku kerjakan sekarang menuntut aku menggambarkan siapakah watak-wataknya dengan lebih jelas. Jelas untuk aku. Siapa Zaitun? Tidak malu aku mengaku - dia digarap berdasarkan aku. Pengalamannya adalah pengalaman aku. Tapi dia bukan aku. Aku tidak memahami sepenuhnya diriku sendiri, justeru mustahil untuk aku memancarkan perwatakanku kepada watak fiksi dengan tepat dan jujur. Zaitun adalah fiksi yang perlu kulakar semula, walaupun templatenya adalah aku.
Zaitun lebih degil daripada aku. Lebih berontak. Lebih berani. Lebih cekal. Matanya lebih tajam, hatinya lebih kental.
Lebih cantik daripada aku. Tentu. Fashion sensenya harus lebih baik. Oh, aku juga punya fashion sense yang baik, tapi aku malas untuk berusaha. Memerlukan terlalu banyak effort.
Zaitun, adalah gadis yang duduk di cafe seorang diri dengan buku di tangan, menghirup kopi, dan kau hampir-hampir boleh bayangkan jarinya terjepit rokok Menthol yang disedut dengan tenang sambil menulis sesuatu dalam buku catatannya (dia tentu sahaja tidak merokok - ada batasan yang tidak boleh aku langgar dalam berkarya, walaupun aku teringin!)
Zaitun adalah gadis yang menangis di hadapan Tuhan pada waktu malam, dan bertelagah dengan tokoh agama pada waktu siang.
Dia terperangkap antara dua dunia - konservatif dan liberal - kedua-duanya tidak mampu dia terima sepenuhnya, dan tidak akan menerima dia sepenuhnya, lantas Zaitun belayar dalam perahunya sendiri, tunggal, sentiasa dalam kompromi, tidak pernah dapat memberi seluruh hati kepada mana-mana kelompok, gaya hidup atau ideologi.
Dia sukar untuk mempercayai, tetapi setelah yakin, setelah pasti, dia akan mempertahankan pegangannya sampai mati. Dia sukar untuk mencintai, tetapi setelah jatuh hati, dia akan menyimpan kasihnya - sampai mati.
Zaitun, gadis keras degil yang mendewasa menjadi wanita tenang teguh, tapi matanya tetap curiga dengan alam.
Dan cintanya, ya cintanya. Setelah jatuh hati, dia menyimpan kasihnya - sampai mati.
Nik Waizuri.
Maafkan saya kerana kerana pandai-pandai merekacipta perwatakan awak. Saya memang tidak pernah kenal awak, seperti awak tidak pernah kenal saya.
Siapa Waizuri?
Nantilah lain kali. Satu persatu. Tak perlu terburu-buru.
No comments:
Post a Comment