Bazar Ramadhan tak jauh, dekat stadium saja. Jalan kaki petang-petang, curi-curi keluar waktu pesakit tak ramai, merempuh sesak manusia bercampur asap dan panas rembang hanya untuk mencari juadah enak yang berkenan di perut dan tekak.
Kalau nikah itu diumpamakan seperti berbuka puasa,
memilih jodoh itu apa seperti memilih juadah berbuka?
Ada yang menetapkan menu kesukaan, dari kedai sekian-sekian, dan sanggup pulang dengan tangan kosong kalau tidak ketemu pilihan idaman. (Umi aku la tu.)
Ada yang berkeliling lama dari gerai ke gerai, menunggu terserempak dengan hidangan yang memikat selera.
Ada yang tidak seronok berbuka puasa kalau sajiannya tidak istimewa, tidak menarik, tidak ada beza dengan hari-hari biasa. Rasa seperti ada yang kurang. Tambah sedih kalau berbuka jauh dari rumah, dari keluarga, seringkali kerana belajar atau bekerja. Bulan puasa, bulan Ramadhan, seolah-olah lenyap serinya.
Ada yang tidak kisah berbuka dengan apa-apa sahaja, seteguk air kosong dan beberapa biji kurma, lalu terburu-buru menyambung pekerjaan (seusai solat fardu Maghrib tentu). Menyendal perut sebelum menjamah makanan 'sebenar' lewat malam nanti.
Ada yang tidak kisah berbuka dengan apa-apa sahaja, seteguk air kosong dan beberapa biji kurma, mungkin biskut kosong dengan air teh, kerana tidak mampu. Miskin. Titik.
Ada yang tidak kisah berbuka dengan apa-apa sahaja, seteguk air
kosong dan beberapa biji kurma, mungkin biskut kosong dengan air teh. Kalau ditakdirkan dapat makan juadah lazat idaman kalbu dari bazar Ramadhan, maka itu rezeki yang disyukuri dengan dada lapang dan hati riang. Kalau hanya bubur lambuk sedekah dermawan di masjid, maka itulah rezeki yang disyukuri dengan penuh gembira. Berbuka puasa bukan pesta menjamu nafsu, bukan untuk menebus lapar dahaga, bukan untuk bersukaria bersama teman-teman dan keluarga, tetapi untuk melangsaikan perintah Allah, yang menitahkan hamba-hambaNya berbuka setelah berpuasa.
Berbuka puasa itu, kerana ia ibadah.
Lantaran ia ibadah, maka walaupun sederhana, haruslah sempurna. Rezeki harus bersumber daripada yang halal. Makannya harus berpada-pada. Waktunya harus tepat, jangan tercepat, jangan terlambat. Solat yang fardu jangan terlewat atau lebih dahsyat, tidak sempat.
Nikah itu, kerana ia ibadah.
Lantaran ia ibadah, maka walaupun sederhana, haruslah sempurna. Jalannya harus bersih, niatnya harus jernih. Keputusan itu bukan hanya kerana takut dihambat umur dan waktu, dan kalau memilih untuk menunggu, maka tunggulah dengan sebenar-benar tunggu.
Kita tidak berbuka sebelum waktu. Rugi benar kalau lama kita sabar, tiba-tiba tidak tahan, lantas 'berbuka' dengan melayan nafsu dan bercinta-cinta sebelum 'masuk waktu'. Puasa, kalau meneguk sesudu air pun, kalau Maghrib belum tiba, ah, seharian berlapar, batal begitu sahaja!
Saya,
tiap-tiap kali pulang ke kediaman, suka mendongak menatap langit.
Malam-malam tidak pernah jemu melihat langit Ramadhan yang sungguh bersih-cerah, tenang-damai berbanding langit malam-malam biasa. Tidak ada bintang, bulan, atau lampu stadium, bukan pula langit malam ribut yang merah marah, tapi langitnya tenang, bersih dan cerah.
Semalam bulan sabit. Cantik berlekuk. Langit bertambah cerah.
Ramadhan 7. Malam Jumaat. Esok kerja. Lusa kerja. =)
No comments:
Post a Comment