Pertama kali saya melihat wanita berpurdah, mungkin dalam majalah-majalah keluaran al-Arqam yang setia dibeli umi sewaktu masih kecil. Purdahnya sama gaya, kelubung hitam (kadang-kadang putih) berlapis-lapis, dengan jahitan getah di atas jejambat hidung. Gambar-gambar yang ditunjukkan – suri rumah, peniaga, pendakwah, doktor perubatan, siswazah – hampir semuanya bertutup lengkap, selalunya turut bersarung tangan.
Sesekali, ada juga wanita sekampung yang memakai tudung labuh dan purdah, lalu di hadapan rumah dengan motosikal (ya motosikal), atau nampak sekali imbas dalam kenderaan.
Saya masih ingat satu cerita, gosip antara kanak-kanak…entah betul atau tidak – “Emak si X, mimpi tengok neraka, lepas tu, terus pakai purdah.”
Ada juga seorang dua guru perempuan di sekolah menengah tempat umi mengajar yang berpurdah. Tiap-tiap kali gambar keluar dalam majalah sekolah, saya akan perasan tentang guru-guru yang ‘istimewa’ ini. Itu dulu ya, hampir dua puluh tahun lalu – sekarang tidak ada lagi!
Sedikitpun ketika itu saya tidak merasakan bahawa mereka ini ekstrim atau kolot, apatah lagi mangsa yang diperkotak-katikkan orang lain. Penataan karya dan tulisan dalam media terbitan al-Arqam menyebabkan aku memandang wanita-wanita serupa ini penuh hormat, mereka bijak dan berpelajaran, fasih dan tangkas menyampaikan ilmu serta idea mereka, dan pilihan untuk bertegas dengan diri sendiri serupa itu dilakukan semata-mata kerana mahu mencari keredhaan Allah SWT.
Kelubung besar dan labuh, sekeping kain menutup muka, dan pergaulan yang unik – luas sesama wanita, amat terbatas apabila melibatkan lelaki – seperti yang dipaparkan, tiada yang salahnya, malah hebat di mata saya. Seorang kanak-kanak polos yang baru beberapa tahun masuk sekolah rendah.
Beberapa tahun selepas itu, setelah saya mengetahui bahawa sudah beberapa tahun al-Arqam diwartakan haram kerana aqidah yang didakwa menyimpang (tetapi buku dan majalahnya masih menjadi koleksi penting di rumah saya), kehidupan wanita seperti itu masih istimewa dan ideal untuk saya, walaupun dalam keremajaan yang dilalui ketika itu, seorang gadis remaja seperti saya terpaksa mengakui bahawa tiada kemampuan untuk mengamalkan walau sebahagian kecil daripada disiplin akhlak dan ibadah yang diamalkan mereka.
DUA
(i)
Cuti musim panas, pasti ada waktu yang diluangkan untuk menghadiri program atau menemui teman-teman di Kuala Lumpur. Kaedah kembara paling sesuai tentu sahaja menaiki tren – baik Komuter, LRT, STAR atau Monorel. Bersesak-sesak dalam gerabak sudah menjadi perkara biasa untuk saya. Dalam gerabak itulah dapat melihat bermacam-macam jenis manusia – rupa, bangsa, pakaian, (bau badan), akhlak… dan manusia yang berbagai-bagai inilah yang berlaga-laga badan, bergilir sedut udara, malah bersentuh peluh sesama sendiri.
Dalam kesesakan sebegitu, suatu petang, mungkin tiga empat tahun sudah – saya lupa mahu ke mana – saya perasan seorang gadis berpurdah hitam. Jelas daripada mata dan dahinya yang kelihatan, orangnya berkulit putih melepak, dan tentu sangat cantik. Gayanya juga unik pada pandangan saya ketika itu. Tudungnya adalah kerudung hitam tiga segi bidang 60, labuh tetapi dipakai silang, dan sehelai kain hitam yang agak panjang dipasangkan untuk menutup sebahagian wajah. Dia berbaju labuh melepasi lutut, dan memakai seluar panjang. Saya tidak pasti sama ada dia berteman atau seorang diri (seperti saya). Dia kelihatan yakin, moden, dan bersahaja, seolah-olah tiada bezanya dengan orang lain, dan orang lain dalam gerabak itu juga menyibukkan diri dengan urusan masing-masing tanpa begitu mengambil kisah tentang dirinya.
Wah, wanita berpurdah juga mengikut arus kemodenan!
(ii)
Beberapa tahun lalu. Matahari sudah agak tinggi, lewat segalah. Saya tercegat di depan kedai kopi berdekatan simpang jalan besar ke Pasir Era yang tembus ke Temangan di Machang. Jenuh menunggu kereta sewa (atau mana-mana kenderaan jiran sekampung) lalu untuk ditumpang ke bandar, akhirnya sebuah kereta Perodua Kancil keluar dari simpang, berhenti dan mengajak saya menumpang. Pemandunya tidak saya kenal – seorang wanita bertudung labuh warna peach.
Saya menerima pelawaannya tanpa banyak bicara. Dalam kereta pun, kami tidak banyak bicara. Saya tidak ingat langsung apa-apa yang dibualkan – hanya terbayang-bayang imej wajahnya yang bertutup purdah warna peach dan berkaca mata yang saya lihat melalui cermin pandang belakang.
TIGA
Namanya saya tidak dedahkan di sini, tetapi saya tahu dia (dan mungkin beberapa orang lain) mengetahui tentang siapa saya berbicara. Mengenalinya melalui grup penulis yang banyak berhubung secara maya, lantas pertama kali berjumpa benar-benar dalam sebuah seminar latihan berkarya anjuran DBP.
Dengan jubah labuh, sesekali dipadankan dengan seluar, bertudung labuh dan berpurdah, suara lembutnya penuh berkeyakinan tiap-tiap kali perlu membentangkan sesuatu, malah ketika terpaksa berdebat (dan menerima ‘terjahan’ agak agresif daripada pembimbing), keyakinannya tidak tergugat.
Waktu makan di hotel mewah itu, saya perasan dia duduk di tempat yang agak tersorok, membuka kain penutup mukanya, menunduk sedikit dan makan seperti biasa.
Kalau tidak silap, saya pernah melihat wanita yang berpurdah menyelinapkan makanan dan minuman di bawah purdah ketika menjamu selera di restoran. Wah… tentu perlu mahir dan teliti, supaya tidak comot.
Kalau tidak silap, sahabat saya ini, melalui gambar terbarunya, sudah tidak berpurdah lagi, walaupun masih bertudung labuh. Mohon maaf dan tolong betulkan jika saya silap. Tentu ada sebabnya beliau memilih mana-mana hala tindakan yang diambilnya. Mungkin kerana kerjaya?
Saya teringat juga seorang rakan umi yang pernah bersama-sama kami berjalan jauh beberapa tahun lepas untuk tujuan berkaitan pengajian tingginya – kata umi, cikgu perempuan itu memakai purdah (sewaktu mengajar di sekolah, secara curi-curi?), tetapi untuk urusan rasmi seperti ini, dia perlu membukanya. Begitu ya?
EMPAT
Saya pernah berjinak-jinak dengan sebuah pergerakan Islam sewaktu mula-mula sampai ke UK (kini telah saya tinggalkan sepenuhnya, bertukar bahtera setelah menemukan keyakinan yang lebih jelas, namun saya amat menghargai pengalaman dan pelajaran yang saya peroleh sepanjang pembabitan). Satu ciri yang menarik dalam pergerakan ini adalah ketegasan yang sangat teliti dalam interaksi antara lelaki dan perempuan. Hampir tidak ada pertembungan antara gender yang berlainan ini sewaktu sebarang program yang diadakan.
Tabir dipasang sebagai pemisah sewaktu kuliah dan usrah gabungan. Sebarang interaksi yang perlu berlaku, diadakan dengan sangat terjaga. Saya biasa melihat muslimin dan muslimat yang terpaksa berbincang sesama sendiri, melakukannya dengan kedua-duanya memandang ke arah lain daripada lawannya bercakap. Pada ketika itu, kekaguman saya mencanak-canak – seolah-olah saya benar-benar berada dalam kelompok ideal persis golongan al-Arqam yang dahulunya saya anggap mustahil untuk dicontohi.
Beberapa orang sahabat muslimat senior yang saya segani dan hormati mengamalkan pemakaian purdah sewaktu program yang bercampur, walaupun sewaktu ke kuliah atau ke mana-mana tempat lain dalam aktiviti sehari-hari, mereka tidak berbuat demikian. Purdah hitam berlapis gaya Arab, jenis yang diikat atau dipasang dengan velcro di belakang kepala, lalu lapisan luarnya dilipatkan ke belakang. Mudah kerana tidak perlu dijahit atau dipadankan warnanya dengan kain tudung. Boleh juga dipasang atau ditanggalkan mengikut keperluan.
Saya memandang amalan ini dengan penuh rasa tertarik dan ingin tahu, lalu bertanya salah seorang muslimat tersebut, meminta penjelasan. Tujuan menutup wajah serupa itu apabila berada dalam program bersama muslimin, hatta muslimin itu hanyalah seorang dan merupakan ustaz murabbi kami, adalah untuk menjaga hati. Bukanlah ‘menjaga hati’ itu bermakna tidak menyinggung perasaan sesiapa, tetapi ‘menjaga hati’ dengan maksud memelihara jiwa sendiri daripada fikiran dan lintasan yang dirasakan tidak wajar. Memelihara pandangan lelaki juga tentu termasuk dalam tujuan, walaupun mungkin bukan yang paling utama.
Saya dapat memahami konsep yang ingin disampaikan itu. Semakin tegas seseorang mengawal dirinya daripada perbuatan yang menghampiri dosa, semakin sukar ujian, semakin bijak pula syaitan dan nafsu mencari lorong untuk mendapatkan kepuasan. Contohnya seperti budaya sekarang ini – generasi dengan secebis kesedaran Islam mungkin berasa bersalah melayan kisah romantis dari Korea atau lagu-lagu cinta pop Melayu, lantas menukar haluan kepada kisah cinta Islami dan nasyid pop Islami. Bukankah walaupun menukar medium, emosi yang disalurkan, nafsu yang dibelai-belai begitu, adalah sama sahaja sebenarnya?
Justeru, perbuatan menutup wajah itu bagi muslimat ini adalah untuk memperkemas batas dalam pergaulan, menjadi peringatan untuk diri yang memakai dan insan lain di sekeliling tentang perlunya hijab yang menjadi sempadan dalam interaksi lain jantina. Lain individu, mungkin lain kaedah terbaik pilihannya. Bentuk hijab itu mungkin pelbagai, yang penting bukan hanya tirai pemisah dan pakaian-pakaian yang melindungi fizikal, bahkan hati itu mesti turut dijaga, jangan liar bergelewak ke daerah-daerah terlarang walaupun lisan bertutur sopan dan mata tunduk tidak memandang.
LIMA
Banyak program anjuran pertubuhan Islam di UK yang saya hadiri. Ada ceramah dua jam, kursus sehari suntuk, konvensyen tiga hari, pameran, konsert nasyid, dan lain-lain. Kebanyakan program ini berusaha mengamalkan ‘segregation’ sebaik mungkin, iaitu lelaki dan perempuan menghadirinya bersama-sama tetapi duduk di tempat yang terpisah. Dalam situasi seperti ini, saya biasa melihat muslimat yang memilih untuk memakai purdah dengan pelbagai tujuan.
Mungkin ada yang sudah biasa memakainya di mana-mana sahaja, ada yang segan dengan muslimin dan selesa berpurdah sewaktu menghadiri program Islami, ada yang mahu berlatih dan merasakan inilah tempat yang sesuai untuk mula mencuba, mungkin ada yang saja-saja mahu merasa. Gaya dan fesyennya pelbagai, walaupun yang paling biasa dilihat adalah wanita yang berpurdah gaya Arab. Paling hebat, saya pernah beberapa kali melihat wanita yang matanya pun tidak kelihatan, purdah yang dipakai melitupi seluruh wajah.
Sewaktu menghadiri sebuah program di London, Islamic Medical Ethics Conference anjuran Al-Kauthar, kendalian Syeikh Tawfiq Chowdhury, saya ditemukan dengan beberapa orang wanita berpurdah yang peramah dan ceria. Kami duduk berdekatan, dan keluar bersama-sama semasa waktu-waktu rehat yang diberi. Saya saja yang tidak menutup muka dalam kelompok itu. Seingat saya, ada yang bekerja sebagai ahli podiatri, ada seorang guru, dan dua orang penuntut universiti. Kami bertukar-tukar nombor telefon dan perkenalan itu adalah antara kenangan yang indah untuk saya.
Sewaktu makan tengah hari dalam dewan makan yang khas untuk perempuan, saudara-saudara perempuan saya ini tentu saja membuka wajah, dengan menyibak purdah ke belakang kepala. Sedang kami seronok menjamu selera dan bersembang, tiba-tiba salah seorang daripada mereka kelihatan kelam-kabut dan terkial-kial bersembunyi di belakang temannya sambil membetulkan semula kain penutup mukanya.
“Apa dah jadi?”
“Ada lelaki masuklah!”
Kain-kain hitam terus turun menutup wajah-wajah ceria teman-teman saya, seperti awan yang melindungi cahaya bulan yang risau diintai serigala yang melolong waktu malam. Kami berhenti sejenak berbual dan ketawa sehingga lelaki-lelaki (rasanya penghantar makanan) itu keluar semula.
Kain-kain hitam tersingkap semula, dunia wanita kembali menjadi eksklusif hanya untuk kami, bidadari-bidadari cantik dalam istana yang tidak boleh ditonton sesuka hati. Kami menyambung perbualan dan ketawa kami.
ENAM
Saya pernah bereksperimen sendiri beberapa kali dengan purdah. Perasaan ingin tahu, ingin memahami, yang tumbuh daripada kepekaan saya memerhati persekitaran, dan keterujaan masyarakat di sekeliling yang menyifatkan purdah itu seolah-olah simbol keunggulan seorang muslimah, menyebabkan saya terfikir untuk mencuba, secara curi-curi. Apa rasanya ya? Ganjilkah rasanya jika berjalan di tengah-tengah masyarakat dengan memakai purdah? Akan dipandang dengan anehkah? Adakah saya akan berasa lebih suci, lebih mulia sebagai seorang perempuan? Adakah hati saya akan berasa lebih bersih?
Ia hanyalah sekeping kain yang diletakkan di depan muka. Itu sahaja. Secebis tambahan yang tidak seberapa kepada busana seorang wanita. Mengapa masyarakat begitu berkisah tentangnya? Mengapa kesucian wanita dikaitkan dengannya? Mengapa politikus Barat, golongan Islamis dan pembela hak asasi wanita yang sekular sibuk berpolemik mengenainya? What’s the big deal? I’d like to know, to experience it first-hand.
Saya pernah berjalan di Manchester dengan berpurdah, di Malaysia juga pernah. Dalam pusat membeli-belah, dalam tren yang sesak, dalam tren yang lapang, di dalam bas, di lain-lain tempat awam, dalam lain-lain aktiviti. Namun tidak pernah sewaktu bersama kawan-kawan atau keluarga, atau orang yang saya kenal. Saya belum berani. Saya pernah teringin mencuba berpurdah sewaktu menghadiri program Islami bersama sahabat-sahabat, atau aktiviti jemaah, tetapi tidak cukup tega untuk meneruskannya. Maksud saya hanya ingin mencuba, bukan untuk ‘berhijrah’ atau apa-apa. Mungkin salah faham dan fitnah yang akan timbul tidak mampu untuk saya menampannya.
Apa yang saya rasakan ketika itu? Apa yang saya fikirkan, dan apa yang saya dapat?
Mungkin saya kongsikan lain kali. Sudah terlalu panjang tulisan ini.
TUJUH
Cuaca Malaysia panas. Muka saya memang tidak betah dibakar matahari, tidak mampu mengekalkan rona secerah di bumi British dulu. Tiap-tiap kali keluar, saya menempek cecair sunblock SPF50, adakalanya menambah bedak pula lagi selapis. Bukan kerana mahu berdandan sangat, tapi kerana takutkan matahari.
Memakai purdah untuk mengelakkan panas matahari kedengarannya seperti idea yang bagus.
No comments:
Post a Comment