Ogos tahun lepas, awal Ramadhan, saya ke KL dengan niat berjumpa sahabat karib di Seremban. Tiba sebelum Subuh di Hentian Putra, sempat berehat di surau sebentar sambil makan roti dan minum sekotak susu berperisa kopi. Seorang kanak-kanak perempuan (benarkah dia anak kakak?) menumpahkan susu itu ke atas tudung labuh ungu yang saya bentangkan di tepi dinding. Mungkin waktu itu kakak nampak isi beg tangan Fiorelli ungu gelap yang saya biarkan terbuka. Ada laptop, dompet, dan buku-buku.
(Beg ungu itu saya baru beli di UK, selepas hampir empat tahun menggunakan beg tangan hitam yang dibeli waktu tahun pertama dulu, lalu digunakan sampai lusuh, lunyai, dan tangkainya relai menampakkan tulang-tulang plastik biru, sampai saya segan untuk menyandangnya di atas bahu...)
Kita sempat berborak dan bertegur sapa. Saya tidak marah pun kanak-kanak itu mengotorkan tudung saya. Saya pergi ke paip wuduk di sudut surau lalu mencuci tumpahan susu berwarna coklat tu. Tudung saya basah, dan saya sidai di atas tembok batu yang memisahkan tempat wuduk dengan ruang solat. Saya harap kering cepat, saya belum solat Subuh lagi, saya tidak bawa telekung, dan saya tidak sanggup menggunakan telekung 'kegunaan awam' di situ. Tapi sudahnya waktu Subuh merangkak ke pertengahan, saya memutuskan untuk menyarung saja tudung labuh yang masih basah di belakangnya itu, dan menyempurnakan solat.
Saya tidak pasti kakak bersolat atau tidak. Mungkin kakak uzur.
Setelah solat, saya tanggalkan tudung dan sidai semula, berhajat untuk menunggunya kering. Surau ini ditutup pukul lapan pagi. Masih ada masa. Saya duduk-duduk mengisi waktu dengan zikir dan bacaan al-Quran. Rupa-rupanya itulah kali terakhir saya akan membelek dan membaca al-Quran terjemahan berzip itu.
Oh ya, saya ada menelefon sahabat yang ingin diziarahi dan memberitahunya yang akan ke Seremban sekejap lagi. Saya yakin kakak mendengar perbualan kami.
Ada beberapa orang perempuan, termasuk saya, yang masih duduk-duduk dalam surau itu ketika matahari memanjat langit. Kakak pun ada bersama.
Sebelum meninggalkan Hentian Putra, saya membelok ke tandas awam. Beg tangan saya tinggalkan berhampiran penjaga yang memungut bayaran dua puluh sen sekali masuk. Kakak masuk tandas juga. Kakak tegur saya kerana meninggalkan beg tangan di luar. Tidak selamat kata kakak, penjaga itu bukan peduli sangat pun kepada barang orang lain. Saya rasa sangat berterima kasih dengan nasihat kakak, lalu keluar mengambil semula beg tangan saya.
Kakak minta saya menengokkan beg tangan kakak, dan beg merah jambu yang digalas oleh kanak-kanak perempuan yang bersama kakak. Comel orangnya, tocang yang terpacak di atas kepalanya masih saya ingat. Apa dia tahu apa yang ibunya (kalau kakak benar-benar ibunya) lakukan?
Apabila giliran saya pula memasuki kiub tandas, saya minta kakak turut menengokkan beg tangan yang ditinggalkan di atas sinki. Ada seorang wanita lagi di situ sedang menggunakan cermin untuk berdandan.
Saya keluar daripada kiub tandas beberapa minit kemudian.
Kakak, kanak-kanak perempuan yang bersama kakak, dan beg tangan saya sudah tidak ada.
Saya tidak panik. Wanita yang menggunakan cermin untuk berdandan itu berkata, kakak beritahu, kakak tunggu saya di luar.
Saya keluar dan mencari kakak di seluruh stesen bas itu. Saya nampak kelibat kanak-kanak perempuan dan berkejar dengan penuh harapan, tetapi itu bukan kanak-kanak yang bersama kakak. Saya cari di tingkat atas, di kedai-kedai yang kosong. Saya susul bas-bas yang berderetan di pekarangan luar Hentian Putra, saya cari bas yang ke Seremban (kerana kakak beritahu saya mahu ke Seremban juga), saya berkeliling mencari kakak. Saya tidak mahu percaya bahawa setelah dua puluh empat tahun hidup, akhirnya saya menjadi mangsa kecurian. Ditipu bulat-bulat.
Wanita yang berdandan di dalam tandas tadi (dan bakal tunangnya yang ada bersama) turut membantu. Kami tertinjau-tinjau, tercari-cari. Kakak tidak ada di mana-mana. Allah. Kakak, saya gadis seorang diri, dari Kelantan, kakak larikan semua harta benda yang saya bawa, termasuk telefon bimbit, dan saya hanya ada tiga puluh sen dalam saku baju kurung.
Wanita dan bakal tunangnya yang baik itu sangat-sangat banyak membantu. Mereka meminjamkan telefon bimbit untuk saya menelefon ayah dan ibu. Kad kredit ibu ada dalam dompet saya. Saya menelefon kenalan yang alhamdulillah saya hafal nombor telefonnya - satu-satunya nombor telefon kenalan di KL yang saya ingat - dan minta dijemput di Hentian Putra.
Saya cuba mendail nombor telefon saya sendiri. Setelah beberapa kali mendail, telefon saya diangkat. Kakak ada di hujung talian. Kakak cuba berunding dengan saya. Kalau saya setuju, kakak akan pulangkan beg saya setelah ambil duit di dalam dompet. Kata kakak, kakak juga mangsa. Orang menipu duit kakak.
Kakak minta nombor Pin kad debit dan kad kredit dalam dompet saya. Kad-kad dari bank di UK. Saya beritahu kakak, kad-kad itu tidak boleh digunakan untuk mendapatkan wang dari ATM di Malaysia. Kakak percaya. Kakak minta password laptop saya pula. Itu syarat kalau saya mahu barang-barang saya semula. Saya tersepit. Kita buat perjanjian, kakak akan letakkan beg saya semula di surau jam satu tengah hari. Saya beri password itu.
Wanita dan bakal tunangnya itu perlu pergi, mereka dari Terengganu, ada urusan yang perlu diselesaikan. Mereka ucapkan selamat dan hadiahkan wang kepada saya. Tiga puluh sen dalam saku baju kurung, bertambah beberapa puluh ringgit. Saya mohon Allah kurniakan kebahagiaan dunia akhirat kepada wanita dan bakal tunangnya yang sangat mulia hati itu.
Kenalan saya bawa saya ke balai polis untuk membuat laporan. Saya masih punya harapan untuk bertemu semula dengan beg tangan saya dan isinya. Jam satu saya kembali ke Hentian Putra. Saya berkeliling semula di stesen bas itu. Naik ke surau, sampai ke bahagian lelaki. Saya cari dalam tong-tong sampah. Saya tanya pengawal-pengawal keselamatan. Saya tinggalkan nombor telefon saya untuk dihubungi, kalau-kalau ada sesiapa meninggalkan beg tangan tanpa tuan.
Kakak tidak pernah memulangkan beg tangan saya.
Akhirnya, dalam perjalanan dari Hentian Putra ke Keramat, rumah kenalan saya dan suaminya, air mata yang saya empang sejak pagi, berhamburan keluar. Saya menangis teresak-esak. Kenalan saya dan suaminya membiarkan, mereka faham. Di hadapan Allahyarhamah Dr Lo'lo', ibu mentua kenalan saya, saya menangis lagi. Dia tidak marah atau menyalahkan saya, dan membiarkan saya melepaskan perasaan yang menakung.
Saya membersihkan diri dan solat dalam bilik adik ipar kenalan saya yang biasa saya tumpangi kalau berziarah ke rumahnya. Dalam keadaan privasi seperti itu, sambil duduk di atas sejadah, saya telefon ibu (dengan telefon yang dipinjam), menghambur air mata lagi. Ibu tidak marah atau mengungkit-ungkit kecuaian saya. Ibu tahu saya sudah cukup sedih. Selepas bercakap dengan ibu, saya lambakkan tangis saya benar-benar di hadapan Tuhan. Saya menangis semahu-mahunya, dengan tangisan yang lebih dahsyat daripada tangis di hadapan kenalan saya dan keluarganya tadi.
Adik di Kuantan, mendapat khabar tentang kecelakaan yang menimpa, menghantar SMS mengingatkan saya tentang ayat surah at-Taghaabun ayat 11. Saya buka al-Quran, melihat terjemahannya, dan sebak tambah menggebu-gebu.
No affliction can ever befall except by Allah's permission. Whoever believes in Allah, Allah guides his heart, and Allah has knowledge of everything.
Perancangan saya batal semuanya, kakak. Setelah kakak melarikan beg tangan saya dan berbohong pula selepas itu, saya tidak ada hati dan kemampuan lagi untuk ke mana-mana, kecuali pulang ke Kelantan. Sahabat saya di Seremban menunggu saya berjam-jam dalam kebimbangan dan nyaris membuat laporan polis. Adik yang saya janjikan ziarah di Kuantan, akur dengan takdir bahawa pertemuan pendek selama beberapa hari saja dalam tahun lepas ketika dia pulang ke Kelantan itu sajalah yang diizinkan untuk kami.
Kenalan saya dan suaminya membantu membelikan tiket untuk pulang, dan menghantar saya ke stesen. Dalam bas malam itu, sambil melihat malam yang sejuk dan hitam lewat jendela bas, air mata saya mengalir lagi tanpa mahu berhenti-henti.
Kakak, tangisan saya bukanlah semata-mata kerana kakak mencuri barang-barang saya. Duit dalam dompet saya itu berapalah sangat. Barang-barang di dalam beg tangan saya yang seperti beg Doraemon itu memang saya sayang - terutamanya komputer mini saya, netbook sebetulnya, yang saya muatkan dalam beg tangan - kerana di dalamnya adalah segala macam khazanah yang saya himpunkan selama bertahun-tahun. Karya, esei dan projek saya. Dokumen-dokumen penting yang disimpan. Kertas kerja, rancangan dan laporan. Silap saya lagi, tidak menyediakan back-up data. Namun kehilangan komputer mini itu dan segala isi kandungannya adalah kehilangan yang paling terasa.
Tangisan saya juga bukanlah semata-mata kerana kesal dengan kenaifan saya mempercayai kakak. Betul, timbul keinginan untuk memutar waktu, dan berkata 'kalaulah...' tapi saya tolak bulat-bulat desakan itu, kerana tidak ada 'kalaulah...' untuk menyesali takdir yang telah tertunai. Betul, saya tidak sepatutnya meletakkan kepercayaan kepada orang asing yang tidak saya kenali, yang hanya berborak-borak ringan sekejap di tengah perjalanan. Saya telah melakukan kesilapan, saya menangisi kesilapan itu, tetapi bukan itu semata-mata yang menjadi punca tangisan saya.
Sesungguhnya kakak, saya menangis, benar-benar menangis, kerana menyedari betapa Allah sangat menyayangi saya. Betapa banyaknya kurniaan Allah yang lalai untuk saya syukuri, dan kebesaran kurniaan itu benar-benar tampak apabila saya bandingkan dengan kehilangan 'kecil' yang Dia uji saya dengannya. Kehilangan 'kecil' yang saya yakin menjadi kifarah atas dosa-dosa saya, dan peringatan untuk merapatkan saya denganNya.
Saya kehilangan beg tangan dan segala isinya, tetapi saya masih mempunyai ibu bapa yang penyayang dan memahami, yang sangat banyak berkorban untuk saya dari dahulu hingga sekarang, yang sentiasa memberi kasih sayang dan bimbingan. Saya mempunyai kenalan, kawan-kawan yang boleh diharapkan untuk menolong ketika berada dalam kesusahan. Saya diizinkan Allah untuk menikmati akal yang sihat dan tubuh badan yang sempurna. Saya menjalani pendidikan tinggi di tempat yang baik, melalui pengalaman-pengalaman yang luas dan hebat yang mendewasakan saya, dan mengenali insan-insan istimewa yang mengajar saya sekian banyak perkara serta menjadikan hidup saya lebih bermakna. Saya diizinkan untuk beriman, untuk mengenal Allah, untuk mahu kepada syurgaNya dan takut kepada nerakaNya, untuk beribadah kepadaNya dan berusaha menghampiriNya.
Allah, segala puji dan syukur untukMu, betapa Engkau terlalu baik, terlalu banyak nikmat yang Kau izinkan aku kecapi, sedangkan dosa dan kelalaianku memalukan bumi yang aku pijak...
Sementara kakak, saya tidak tahu petaka apakah yang menimpa kakak sehingga tergamak mencuri daripada saya, seorang perempuan seperti kakak, yang mengembara seorang diri. Saya tidak fikir kakak merancang untuk menganiaya saya. Benar, saya yang 'membuka' peluang untuk kakak mengambil kesempatan. Mungkin kakak benar-benar terdesak. Allah, sesungguhnya kakak, saya bersimpati dengan kakak. Siapakah yang ada untuk membela kakak? Adakah kakak mempunyai suami, keluarga, atau teman-teman? Kesukaran apakah yang kakak tanggung sehingga kakak terpaksa melakukan dosa seperti itu, dosa yang memang tidak akan terampun melainkan saya mengampunkan kakak, dan dosa yang mungkin akan menghantui kakak dan kanak-kanak perempuan yang bersama kakak itu seumur hidup? Berapa orangkah lagi - kalau ada yang lain - yang telah menjadi mangsa kakak? Kalau kanak-kanak itu anak kakak, rezeki haramkah yang kakak suapkan ke mulutnya?
Kakak, saya maafkan kakak sepenuh hati. Apa khabar Ramadhan dan Syawal kakak? Sudah dua Ramadhan, dua Syawal berlalu sejak kita bertemu. Apa khabar kakak dan kanak-kanak perempuan comel bertocang itu sekarang? Saya tidak pasti sama ada saya mahu bertemu kakak lagi di dunia ini atau tidak, tetapi saya harap di akhirat kita akan bertemu semula dalam keadaan yang lebih baik.
Allah mengajar saya melalui perbuatan kakak, tentang syukur, sabar, dan redha.
Seringkali ketika membelek terjemahan al-Quran kesayangan saya, Tafhim al-Quran Abridged Version oleh al-Maududi, yang saya beli dalam sebulan pertama di Manchester, yang sudah lusuh dan bertampal selotep pada tulang belakang kulitnya yang berwarna coklat-perang, saya akan teringat kepada terjemahan al-Quran dengan kulit berzip di dalam beg tangan yang kakak curi. Maha Suci Allah yang menggerakkan saya untuk membawa terjemahan yang berzip itu, dan bukannya yang tebal berkulit coklat-perang ini sewaktu peristiwa itu berlaku dulu, dan membiarkan saya lupa membawa buku doa kecil berwarna hitam pemberian kenalan kesayangan saya sewaktu itu, sehingga kedua-dua item tersebut masih diizinkan bersama saya sekarang.
Saya harap terjemahan al-Quran itu berguna untuk kakak.
inna lillahi wainna ilaihiraajiun..jzkk dibah ats pernulisan dan cukup menyentuh hati dan mmberi pengajaran..
ReplyDeleteTerbaik!
ReplyDelete