payung
Tahun lepas, dalam bulan 11-12, tengkujuh datang ziarah, langit retak, jalan-jalan raya tersedak, lantai bilik bersalin berjelejehan air hujan bercampur selut lumpur, turut bersememeh dengan tompok-tompok air ketuban, lendir dan darah yang tumpah.
Aku terperangkap dalam bilik di quarters hospital pada hari syif tidak bekerja, dengan perut yang merintih-rintih lapar, tanpa ada satu pun makanan, akibat tidak ada payung. Di luar, air pancur mengguyur tidak mahu berhenti. Sesekali ia jeda, lebatnya mengendur, lalu aku tertunggu-tunggu jedanya menjadi reda. Harapanku hanya palsu, awan hanya menarik nafas melepaskan lelah, sebelum kembali menghambur hujan, turun ke tanah menunggang ribut.
Aku lapar.
Aku tidak ada payung. Kadbod atau baju hujan atau apa-apa sahaja yang boleh membantu melindungi aku daripada kuyup, juga tidak ada.
Tuhan yang kasihan mengirimkan kepadaku ilham untuk meminjam payung di pondok pengawal. Terima kasih Tuhan, aku berlari anak meredah hujan basah kurang seminit dari muka tangga bangunan sampai ke teduhan di sebelah gerbang, lalu menghayun langkah ke kafe hospital untuk mendapatkan sebungkus hangat nasi ayam. Menghirup sup panas dalam keselesaan kamar sendiri selepas kelaparan, sejuk dan basah berhujan, syurga Allah lebih indah daripada ini, maka tentu syurga itu indahnya tidak dapat manusia gambarkan sama sekali.
Tentu juga aku membeli sekaki payung besar berbelang-belang, petanda bersedia menghadap anugerah musim yang bakal berlimpahan lagi pada hari-hari hadapan.
hujan
Dua kali sejak mula bekerja, aku benar-benar terperangkap dalam hujan di tengah-tengah jalan tanpa payung lalu basah kuyup.
Aku berjalan mengejar teduh, cuba berlumba dengan angin yang laju dan awan yang hitam-hitam kelabu, tetapi tidak sempat.
Waktu di MRSM dahulu, suatu petang ketika hujan turun, aku pernah mengikut hati dan kaki, berjalan seorang diri ke lapangan kosong di tengah-tengah blok akademik yang sepi. Hari hujan dan masa sudah lewat, warga sekolah mungkin sedang makan atau berehat.
Hujan turun lebat.
Aku berdiri di tengah-tengah lapangan berumput, kiri kanan depan belakangku bilik-bilik kelas tidak berorang, di atasku langit yang mencurahkan hujan. Aku tidak peduli bagaimana akan pulang ke asrama dengan keadaan basah kuyup sesudah itu.Yang penting, ketika itu, semua serabutku larut diserap rumput.
empat saat
Hari-hari kebelakangan ini, aku pergi bekerja dengan sekaki payung lipat kecil berwarna ungu, diam kemas di dalam beg tanganku. Lima belas minit pergi dan lima belas minit untuk pulang kembali, dari rumah ke hospital, aku tidak takut akan hujan atau ribut, tetapi aku takut akan matahari.
Jalan-jalan raya Malaysia tidak mesra pejalan kaki.
Perempuan berbaju kuning air, skirt labuh coklat gelap dan tudung merah magenta yang berjalan seorang diri pada tengah hari terik, memegang payung ungu, menduga-duga lalu lintas dan cuba mengelak dilanggar lori atau kereta yang berebut tubir jalan yang sempit.
Adakah imej itu dapat menarik perhatian orang-orang di sekeliling melebihi dua saat ketika aku melintas? Adakah orang yang perasan kehadiranku, ingat tentang aku lebih daripada dua saat selepas aku berlalu?
Cuaca panas, kehidupan kalut, dan manusia sebenarnya tidaklah begitu mempedulikan manusia lain. Kita selalu berasa diri terlalu penting sehingga bimbang resah gelisah tentang fikiran dan penilaian orang, sedangkan orang yang kita risau-risaukan itu hanya menyedari kewujudan kita paling lama pun kurang empat saat.
No comments:
Post a Comment