tumit kasut
Kali pertama aku memakai kasut bertumit adalah di Kolej MARA Banting. Warnanya hitam, tumitnya lebar, tinggi hampir dua inci. Hadiah kecemerlangan sewaktu menamatkan pengajian di MRSM - aku membolot terlalu banyak anugerah sehingga guru hilang idea mahu menghadiahkan apa, bungkusan yang kubawa pulang termasuklah sepasang kain sutera jacquard. Aku memakainya ke kolej. Baru belajar-belajar berpakaian molek, mahu beralih daripada tabiat selekeh waktu di maktab. Baru membiasakan diri menyeterika baju dan tudung tiap-tiap hari sebelum ke kelas. Aduh, renyahnya.
Aku hampir jatuh tergelincir di dewan makan kolej.
Hanya tiga tahun selepas itu, sewaktu berada dalam tahun kedua di Manchester, aku memakai kasut bertumit tinggi semula. Kasut berwarna coklat, harganya hanya sepuluh pound, dibeli di kedai LIDL. Selesa dan menyenangkan, ia melekap di kakiku ke mana-mana sehingga tumitnya remuk hampir pecah, jahitannya rekah-rekah dan tapaknya hampir tercabut.
Sepanjang bergelar pelajar di kolej dan seterusnya kampus, aku boleh mengira kasutku dengan dua belah tangan sahaja. Dalam satu-satu waktu aku hanya mempunyai satu atau dua pasang alas kaki yang elok untuk kupakai ke mana-mana. Harga tidak penting, murah atau mahal, yang penting aku mahu dan berkenan. Itulah yang akan kugunakan sehingga rosak, sampai puas hati. Aku tidak faham dengan kawan-kawan yang mempunyai berpasang-pasang kasut, hobinya membeli kasut, dan mempunyai rak khas untuk kasut (dan beg tangan) miliknya seorang.
Sewaktu satu program mahasiswa di selatan United Kingdom, aku berangkat dengan memakai but paras buku lali, warnanya perang, tumitnya kecil tirus setinggi kira-kira satu inci. Alasanku mudah, itulah sepatu terbaik yang kumiliki, yang tidak buruk dan tidak pula pecah. Namun alasan itu tidak memadai untuk membeli selesa. Kebanyakan waktuku semasa program itu dilalui dengan berkaki ayam, hanya menyarungkan stokin ke sana ke mari di atas lantai simen atau karpet.
Kasutku yang terakhir sebelum pulang ke Malaysia adalah sepasang but baldu Monsoon, bertumit rata dan menutup kaki sampai beberapa inci di atas buku lali. Ketika membelinya, aku sudah agak lama bersetia dengan sepatu bertumit rata. Seperti jera dengan tumit tinggi yang sukar sekali memberi selesa. But baldu inilah yang kupakai selama beberapa bulan terakhir di Manchester, sejak musim dingin hujung tahun 2010 mengalas kakiku memijak salji tebal, lalu berjalan ke mana-mana membawa akal, hati, dan rasa, mengutip kenangan, bergelandangan ke Ireland lebih seminggu merayau-rayau hingga kaki merayu minta ampun, dan akhirnya ia diam mengumpul habuk di atas rak di luar pintu rumahku di Kelantan. Walaupun masih elok.
Orang Malaysia tidak perlu memakai but.
Terima kasih, budi dan baktinya sudah cukup banyak untukku. Kenangan yang ditadahnya barangkali boleh dikumpul menjadi travelog (atau novel cinta tragis!).
Setelah mula bekerja, aku mula pandai-pandai bermain dengan pilihan alas kaki.
(Banyak lagi yang aku mula berpandai-pandai ... tetapi lain kali.)
Aku cuba-cuba memakai kasut tumit tinggi. Beberapa pasang, beberapa gaya. Aku tergolong rendah (dan tembam? aduhai), memakai sepatu bertumit menyebabkan aku rasa lebih molek. Sepasang kasut hitam comel bercorak bunga-bunga di dalamnya (inner sole), tumitnya tercotek comel, tetapi Tuhan, memakainya sepanjang hari, berjalan dari katil ke katil pesakit, turun naik tangga, berdiri dan separuh berlari, berkejaran ke sana sini, sendatnya menghimpit kakiku rasa lemas hampir mati. Aku yang tidak biasa berkasut tumit tinggi juga seringkali seperti bertatih-tatih, takut tergelincir atau terpelecok sambil berlari-lari anak atau berjalan cepat-cepat.
Namun kerana aku menyenangi potongannya, dan aku yang pantang beralah hatta dengan sepasang kasut, aku degilkan diri, sehingga sama ada kaki dan tubuhku jinak dengan sepatu baru itu, atau ia yang akur dengan tuannya yang baru, aku sudah mampu memakainya dengan yakin dan selesa.
Setelah yakin bahawa aku sudah pandai berjalan dengan kasut bertumit tinggi (walaupun tidak sampai dua inci, ia satu pencapaian!), atau sepatu baji (wedges) setinggi tiga inci, maka aku menggilirkan dengan sepatu rata pada waktu-waktunya.
Anak-anak kecil belajar berjalan dengan kaki ayam. Berjalan adalah satu kemahiran yang dikuasai dengan susah payah.
Mengenakan sepatu dengan gaya dan ketinggian yang berbeza-beza juga merupakan kemahiran yang perlu dipelajari.
No comments:
Post a Comment