14/11/2012
anak-anak yang dimanjakan Tuhan
Anak-anak kecil yang dimanjakan Tuhan
setiap permohonannya dimakbulkan tunai
gula-gula dan manisan
lalu ia tertawa senang.
Anak-anak yang biasa dimanjakan Tuhan
menyangka kasih sayang hanya ada pada kurnia
apabila digertak dengan duka
sukar dan derita
apabila mintanya tidak diberi
apabila rayunya tidak dilayani
ia merajuk dan celupar bertanya,
"Sudah bencikah Tuhan kepada kita?"
Anak-anak yang dimanjakan Tuhan
menangis-nangis mencari pengertian
lantas rajuknya tidak panjang,
kerana tangisan mencuit Tuhan
memanggil hatinya datang
ia diajar tafsiran baru tentang cinta
mengadu dengan air mata itu juga cara manis-mesra
untuk merindu dan bermanja.
Anak-anak yang makin dewasa bermanja dengan Tuhan
tiba-tiba ketagih meneguk duka
air mata yang ditakung menjadi sungai
mengalir laju ke Tasnim, Kauthar dan Salsabil.
kamar E-4-1
Quarters HRPZ II
1.38am
03/11/2012
jangan lepaskan
di selekoh waktu yang manakah
dua perjalanan ini berselisih?
lalu pintalan-pintalan hidup jadi tersimpul
sehingga pertemuan demi pertemuan termaktub
pada setiap persimpangan takdir.
musim dan masa
mengajarku jadi pencinta
pemberani
dan pelayar nekad dalam samudera hayat
aku mahu sampai ke satu pantai
hanya satu pantai
atau tenggelam lemas dalam bahtera yang karam
tidak ada lain pilihan.
Tuhan,
sampai atau tenggelam
aku dalam tanganMu
dalam tanganMu
tanganMu
genggam aku, jangan lepaskan
dua perjalanan ini berselisih?
lalu pintalan-pintalan hidup jadi tersimpul
sehingga pertemuan demi pertemuan termaktub
pada setiap persimpangan takdir.
musim dan masa
mengajarku jadi pencinta
pemberani
dan pelayar nekad dalam samudera hayat
aku mahu sampai ke satu pantai
hanya satu pantai
atau tenggelam lemas dalam bahtera yang karam
tidak ada lain pilihan.
Tuhan,
sampai atau tenggelam
aku dalam tanganMu
dalam tanganMu
tanganMu
genggam aku, jangan lepaskan
Subscribe to:
Posts (Atom)