09/04/2012

sejak akhir-akhir ini aku rasa seperti emily dickinson

semalam,

ada dua orang pesakit perempuan
seorang muda, seorang tua
kedua-duanya ada penyakit yang sama
cuma kesannya berbeza-beza.

yang muda OK.

tapi tentang yang tua,
kata doktor pakar

"You know kan, there's nothing we can do for her. Her liver's gone."

dia ada splenomegaly, tak ada hepatomegaly,
of course sebab cirrhosis.

for a not very brief moment (until now, actually)

I feel confronted
by my own mortality.

tak adalah takut sangat pun,
but it's a sobering thought.

=)

05/04/2012

jujur pada waktu malam hujan

(ketika ini aku teringat kepada laman LiveJournal yang pernah aku guna dulu - setiap entri akan ada ruang untuk melodi apa yang meneman ketika menulis, emosi apa yang menujah kamu tatkala menulis)

Tapi sekejap saja aku berpetualang ke sana, sekejap saja, aku kembali kepada Blogger semula.

Mungkin kerana sudah lama bermain dengan Blogger, sudah pandai dengan widget gadget segala, design yang mudah-mudah, dan malas mau belajar-belajar guna platform lain.

Selama 4-5 bulan aku mula bekerja, aku amat jarang menggunakan laptop. Aku tinggal di kuarters hospital, tiada internet, dan keypad netbook rosak. External keypad murah yang kubeli berfungsi baik - cuma kelajuan menaipku yang >90patahkataseminit itu tak dapat dimanfaatkan dengan kekunci plastik lembik yang perlu ditekan satu-satu, tergolek-golek di bawah jari. Sabarku tak cukup. Ideaku lari, tak sempat jari yang menaip perlahan untuk mengejar. Aku tak dapat menulis dan aku malas menulis.

Masa-masa terluang, aku membaca, membaca, dan membaca. Sesekali aku menulis dalam diari, atau mencatat nota panjang lewat Facebook yang diakses dengan smartphone.

Baru-baru ini alhamdulillah aku baru membeli netbook baru. Tidak mahal, tidak canggih, tapi memadailah untuk aku melayari internet melalui mobile broadband, dan paling paling penting, memudahkan aku menulis semula.

Apabila menulis, maka jam-jam berjalan laju ke arah dinihari tanpa aku sedar. Jam satu, jam dua, aku masih di depan komputer. Silih berganti menatap nota perubatan dan menulis puisi dan menulis cerpen. Duduk di tepi tingkap, sambil daunnya kubuka, langsir diselak untuk mengalu-alukan masuk angin malam. Aku di tingkat empat, tidak ada siapa-siapa yang mampu (kalaupun mahu) mengintai.

Aku baru sedar, rupa-rupanya, hampir tiap-tiap dinihari, menjelang jam dua pagi, hujan akan turun menderu. Tidak lama, tidak lebat, tetapi hujan tetap turun. Berderai, mengurai dari langit nan tinggi. Sesekali, kilat memancar, mencabar lampu stadium yang mengotorkan angkasa supaya nyah berlalu, biarkan bulan dan bintang dan halilintar menghidupkan malam, berzikir bersama hujan dan angin dan awan.

Aku menjengah keluar, butir-butir hujan hinggap ke wajah, aroma dinihari bersih meruap memenuhkan hati dengan syukur. Hujan menyimbah aspal, percikannya beriak-riak, membentuk kabus halus berapungan. Guruh sesekali menderam garang, merdu pada pendengaranku. Daun-daun palma yang bergoyang-goyang di luar jendela menguit-nguit aku untuk terus menghirup harumnya angin malam bercampur titis hujan.

Hujan adalah waktu rahmat dilimpahkan Tuhan, waktu untuk menadah tangan berdoa.

Banyak yang aku mahu doakan, sebab aku seperti orang lain juga, hamba Tuhan yang cuma punya Tuhan untuk digantungkan semua harapan.

Semua harapan.

Semua harapan.

Kalaulah awak tahu, semua yang ingin saya luahkan, semua yang ingin saya ucapkan, semua yang saya doakan.

Semua yang saya simpan, tidak mampu pun untuk saya puisikan, apatah lagi luahkan untuk satu alam. Semua rasa yang saya tunggu waktunya Tuhan izinkan saya curahkan kepada yang berhak, yang mungkin saja bukan awak. Jadi saya harus simpan, harus jaga. Walaupun saya rasa selalu kalah.

Saya tak tahu masih bersihkah rasa yang saya simpan ini.

Hujan makin reda. Oh, dah reda.

Aku sempat berdoa beberapa baris.

Pada waktu mustajab doa, ketika aku mau memohon untuk dianugerahkan teman yang soleh, ketika itu juga aku teringat betapa tidak solehahnya aku, dan terus, aku jadi malu kepada Tuhan, dan seringkali pula aku menukar haluan, memohon benda-benda lain, bermacam-macam benda lain, sungguh-sungguh meminta bermacam-macam benda lain, sehingga apabila tiba kepada bab jodoh, aku sudah keletihan, sudah kehabisan madah.

Tapi aku tidak pernah jemu, apatah lagi putus asa, meminta apa sahaja daripada Tuhan. Kalau tak minta daripada Dia, hei, kau nak mengharap daripada siapa? Malu memanglah malu, dan memang selayaknya hamba yang banyak dosa malu kepada Dia, tapi malu itu biarlah seperti malu sang dara tersipu-sipu, malu yang menabiri mahu, supaya tida/k nampak biadab melulu. Tidaklah ia malu yang menyebabkan kita menjadi pendosa angkuh, atau tanpa sedar, seolah-olah putus asa dengan rahmat Tuhan.. "tak perlulah aku minta, tak layak pun dapat, takkan Tuhan nak bagi"...oh hello, itu merajuk, itu sangka buruk, berani kau mengada-ngada kurang sopan begitu dengan Allah SWT?

Bukankah kita diajar supaya mendekati Tuhan dengan raja' (harap) dan khauf (takut) yang seiring-iring?

Dan aku yakin, Tuhan itu memang tempat, satu-satunya tempat, untuk hambaNya meminta-minta. Tiada yang lain. Maka mintalah apa sahaja, dan jaga adab-adabnya. Soal jodoh itu hanya sebahagian kecil daripada sejuta perkara yang diharap-harapkan oleh seorang hamba, dan apalah yang lebih diharapkan daripada roh yang pernah dikenalkan dengan syurga dan indahnya keakraban dengan PenciptaNya, daripada kembali ke pangkuanNya dengan ampun dan redha?

Esok aku kerja malam. Boleh tidur siang (walaupun aku rasa banyak benda lain yang lebih baik boleh aku buat daripada tidur). Rugi membazirkan hidup dengan tidur, kalau hidup baik-baik, lepas mati nanti boleh tidur puas-puas.

(tapi attitude macam itu kalau menyebabkan 'ter'tidur sambil buat discharge pesakit, atau terlelap sambil ambil history pesakit kerana tak larat tahan mengantuk... adalah mendatangkan mudarat.)

Oh, ada GSH aku lupa ambil. Alamak.


kutidurkan mimpi indah ini,
padaMu yang menggenggam takdir
padaMu yang menggenggam takdir
padaMu yang menggenggam takdir


04/04/2012

walaupun (kalau ini puisi, aku tujukan untuk pesakit-pesakitku yang diuji dengan HIV)

walaupun dia penagih dadah,
tubuhnya kurus kering
berkudis menggelupas
ada HIV
waktu dia keluar dari wad
(untuk menyambung rawatan di hospital lain)
dengan kerusi roda
dia lambai-lambai tangan kepada aku
dan tersenyum.

walaupun dia (bekas) penagih dadah
kurus kering
sebelah tangan lemah tak terangkat
cirit-birit tak henti-henti
oh, dia juga ada HIV
ada PCP dan juga TB
hari-hari lengannya aku tebuk, ambil macam-macam darah, cucuk nadi cari ABG
malam-malam, dia pasang bacaan Quran
anak dan isterinya ada meneman
dia larang anaknya main handphone kalau aku datang,
tak hormat doktor katanya
suatu malam, dia minta pertolongan
anaknya budak baik, pengawas sekolah
dimarah guru kerana lama tidak datang
tolonglah buat surat makluman, katakan dia tunggu bapanya yang sakit di hospital
setelah aku senyum dan janjikan usaha (belum janji menunaikan - aku tak tahu apa yang boleh aku lakukan)
dia turut senyum lega, dan beritahu isterinya bangga
"jangan risau, abang sudah beritahu doktor, dia akan tolong kita uruskan semua."

dalam surat makluman yang kutandatangan,
aku tulis semua penyakitnya
cirit-birit, lemah jantung, paru-paru berair...
tapi aku tak tulis HIV
aku tak mahu anak pintarnya jadi sasaran caci maki.

walaupun dia pernah menagih
bertahun-tahun dahulu, sudah berhenti, itu kenyataan daripada famili
(kerana sejak dia masuk hospital sampai mati, dia tak pernah sedarkan diri...)
keluarganya begitu ramai
datang berkeliling meneman
ketika aku masukkan long line di lengannya
ketika dia sawan tersentak-sentak
ketika darah meleleh dari tiub yang disambung ke perut
(esofagusnya dijangkiti kulat
petanda HIV yang sudah teruk melarat)
ketika aku terkial-kial menebuk perutnya untuk dialisis kecemasan
kalut mencari arteri untuk ABG segera
memujuk lengan kurusnya mencari pembuluh darah untuk branula
ketika aku diberitahu jururawat
tangannya sudah sejuk keras
ketika aku bertanya keluarga
mahu CPR atau tidak
ketika segala kaca monitor
tidak lagi memberi bacaan
ketika jantungnya diam
dan matanya padam

ketika aku memberitahu
"kakak, dia sudah tidak ada"
dan keluarganya menangis berpelukan
merintih sedih
namun sempat bersalaman denganku
merenung mataku
mengucapkan terima kasih

Tuhan...
Kau izinkan aku menjaganya
sampai dia pergi
sedang keluarganya memerhati
dan amat menghargai
walhal hatiku yang jahat
mungkin diam-diam
mengharap dia cepat mati
ampunkan aku Tuhan
terima amalanku Tuhan

walaupun mereka
pernah berbuat salah
menagih dadah
melanggan pelacur
ada HIV bersarang dalam tubuh
mungkin hidup
mungkin mati
mungkin mati dikelilingi keluarga
mungkin sesak nafas tiba-tiba
lalu terbujur kaku seorang diri
tiada siapa mengaku saudara

mereka semua
adalah manusia
punya jiwa
ada hati, air mata dan cinta
pernah jadi kanak-kanak
melihat dunia
dengan mata suci
sambil tertawa.