walaupun dia penagih dadah,
tubuhnya kurus kering
berkudis menggelupas
ada HIV
waktu dia keluar dari wad
(untuk menyambung rawatan di hospital lain)
dengan kerusi roda
dia lambai-lambai tangan kepada aku
dan tersenyum.
walaupun dia (bekas) penagih dadah
kurus kering
sebelah tangan lemah tak terangkat
cirit-birit tak henti-henti
oh, dia juga ada HIV
ada PCP dan juga TB
hari-hari lengannya aku tebuk, ambil macam-macam darah, cucuk nadi cari ABG
malam-malam, dia pasang bacaan Quran
anak dan isterinya ada meneman
dia larang anaknya main handphone kalau aku datang,
tak hormat doktor katanya
suatu malam, dia minta pertolongan
anaknya budak baik, pengawas sekolah
dimarah guru kerana lama tidak datang
tolonglah buat surat makluman, katakan dia tunggu bapanya yang sakit di hospital
setelah aku senyum dan janjikan usaha (belum janji menunaikan - aku tak tahu apa yang boleh aku lakukan)
dia turut senyum lega, dan beritahu isterinya bangga
"jangan risau, abang sudah beritahu doktor, dia akan tolong kita uruskan semua."
dalam surat makluman yang kutandatangan,
aku tulis semua penyakitnya
cirit-birit, lemah jantung, paru-paru berair...
tapi aku tak tulis HIV
aku tak mahu anak pintarnya jadi sasaran caci maki.
walaupun dia pernah menagih
bertahun-tahun dahulu, sudah berhenti, itu kenyataan daripada famili
(kerana sejak dia masuk hospital sampai mati, dia tak pernah sedarkan diri...)
keluarganya begitu ramai
datang berkeliling meneman
ketika aku masukkan long line di lengannya
ketika dia sawan tersentak-sentak
ketika darah meleleh dari tiub yang disambung ke perut
(esofagusnya dijangkiti kulat
petanda HIV yang sudah teruk melarat)
ketika aku terkial-kial menebuk perutnya untuk dialisis kecemasan
kalut mencari arteri untuk ABG segera
memujuk lengan kurusnya mencari pembuluh darah untuk branula
ketika aku diberitahu jururawat
tangannya sudah sejuk keras
ketika aku bertanya keluarga
mahu CPR atau tidak
ketika segala kaca monitor
tidak lagi memberi bacaan
ketika jantungnya diam
dan matanya padam
ketika aku memberitahu
"kakak, dia sudah tidak ada"
dan keluarganya menangis berpelukan
merintih sedih
namun sempat bersalaman denganku
merenung mataku
mengucapkan terima kasih
Tuhan...
Kau izinkan aku menjaganya
sampai dia pergi
sedang keluarganya memerhati
dan amat menghargai
walhal hatiku yang jahat
mungkin diam-diam
mengharap dia cepat mati
ampunkan aku Tuhan
terima amalanku Tuhan
walaupun mereka
pernah berbuat salah
menagih dadah
melanggan pelacur
ada HIV bersarang dalam tubuh
mungkin hidup
mungkin mati
mungkin mati dikelilingi keluarga
mungkin sesak nafas tiba-tiba
lalu terbujur kaku seorang diri
tiada siapa mengaku saudara
mereka semua
adalah manusia
punya jiwa
ada hati, air mata dan cinta
pernah jadi kanak-kanak
melihat dunia
dengan mata suci
sambil tertawa.
No comments:
Post a Comment