Menunggu bas di Dataran Peladang, Kuala Krai. Bas Mahligai, bukan lagi National Express, Mega Bus, atau Bus Eireann. Janji di tiket jam sepuluh suku, entah sampai pukul berapa sebenarnya aku mesti menunggu. Pagi terang, segar dan bersih. Gandingan matahari muda, angin damai pertengahan bulan puasa, dan bayang-bayang teduh menyebabkan aku rasa tenteram.
Tadi, waktu mula-mula melabuhkan duduk di atas bangku, hidung disapa aroma wangi yang seperti dikenali. Aku mendongak. Sudah bertahun-tahun aku naik bas di sini, tak pernah aku sedar tiga pohon yang teduh merimbun ini rupa-rupanya pohon bunga tanjung.
Kuntumnya yang kecil-kecil, wangi ketika segar dan masih semerbak setelah layu mala. Aku pernah mengutipnya sampai bergenggam, lantas diuntai seperti kalungan, ketika zaman sekolah rendah dahulu. Pohon bunga tanjung di belakang tandas sekolah, berhampiran kebun getah, setiap pagi tidak pernah mungkir berbunga. Tidak puas memungut kuntum yang sudah gugur, kami menggoyang-goyangkan dahan, mahu kelopak putih wangi turun seperti hujan.
Kenapa aku baru sedar tiga pohon rimbun di sini adalah pohon bunga tanjung, selepas bertahun-tahun? Mungkin sebelum ini ia tidak berbunga, atau aku yang lalai oleh bauan yang lain sampai tidak menyedari harumannya yang lembut.
Jam sepuluh setengah pagi. Bas belum tiba lagi.
No comments:
Post a Comment