15/05/2011

rang de basanti 1

Seorang juruterbang muda, pesawatnya terhempas sedang dia tidak melompat keluar kerana memandu pesawat itu jauh daripada bandar.
Tunangannya meraung mendengar khabar lewat warta televisyen, dan bahu saya mula bergegar.
Ibunya menerima bendera negara sewaktu upacara pengebumian tentera, sementara sahabat baiknya menyalakan unggun untuk membakar mayatnya (kerana bapanya sudah tiada, juga seorang tentera). Ketika tembakan senapang hormat 21 das meledak, air mata lelaki sahabat-sahabat baiknya bercucuran tanpa malu atau segan.

Air mata saya turut meleleh-leleh. Ya, reaksi biasa apabila menonton babak kematian-kehilangan.

Melodrama ini berubah kepada skala lebih besar, lebih tinggi sejurus kemudian.

Menteri Pertahanan dipersoalkan kerana banyaknya kemalangan kapal terbang yang berlaku. Kononnya alatan pesawat yang dibeli murah, tidak berkualiti. Media mempersoalkan lewat kaca TV (oh, nampaknya TV mereka masih tegar mempersoalkan menteri!), sementara sang menteri lancang menyalahkan juruterbang yang 'kasar, terburu-buru dan tidak berhati-hati' ... sementara sang tunangan yang mendengar kekasihnya dihina begitu dusta, terus mengongoi tangis.

Rakyat berarak dengan pawai lilin. Menuntut keadilan. Penyiasatan. Menuntut menteri bertanggungjawab. Sang ibu dan sang tunang, serta lima sahabatnya, di barisan hadapan. Ada pidato melaungkan suara mohon keadilan dan ketelusan.

Saya menangis terhenjut-henjut bahu. Babak serupa ini terlalu dekat di hati, dekat dengan negara sendiri.

Lalu polis datang dengan perisai, dengan belantan, menyerbu rakyat yang hanya duduk diam bersama nyalaan beratus batang lilin dan laungan-laungan menuntut keadilan. Sang ibu dan sang tunang, dua wanita berselendang putih, teguh tidak mahu berganjak walaupun suasana sudah mula kalut dengan jerit pekik dan pukul bantai.

"Ini untuk anakku."

Polis membelasah rakyat tanpa belas kasihan. Lelaki, perempuan. Anak-anak kecil terpisah daripada ibu bapa yang membawa mereka - siapa yang menyangka, demonstrasi aman serupa ini akan diserang seperti menyerkup pengganas - dan paling saya ingat, air muka tidak percaya seorang penyokong setia parti, melihat pimpinan yang dipujanya dan disokong penuh taat, memandang huru-hara dari balik cermin kereta dengan raut kosong tanpa perasaan.

Ketika seorang demonstran muntah darah dipukul, saya berhenti menonton, mengesat air mata dan menulis catatan ini.

Malaysia, dua bulan lagi aku pulang.

No comments:

Post a Comment