24/11/2011

kota bharu yang hujan

I

Pagi terakhir saya di Manchester, Madihah menuturkan hasrat yang cukup tulus, langsung meramas lagi hati saya yang sudah sedia luluh. Untuk pulang, harus juga pergi.

"Akak, Subuh ni jadi imam ye. I'd like to hear your recital for one last time."

Air mata sudah meleleh waktu saya mengimamkan solat Subuh pagi itu. Kali terakhir untuk solat berjemaah di bumi yang telah mentarbiyah saya selama lima tahun. Waktu membaca wirid al-Ma'thurat, saya tidak dapat menahan lagi sedu-sedan yang membuak, seperti dari empangan yang pecah.

Tuhan, bilakah lagi aku akan seperti ini, berada dalam saf menyembahMu dan mengagungkan namaMu, bersama sahabat-sahabat yang satu fikrah, satu perjuangan, satu hati, yang saling mengasihi atas nama Rabbi?



II

Kota Bharu kuyup disimbah hujan, yang luruhnya kian kerap, kian lebat. Seringkali saya mengharung lopak atau terjingkit-jingkit mengelak takung air di atas jalan. Satu dinihari hampir jam dua pagi, saya rempuh saja hujan lebat untuk pulang ke hostel, tanpa payung atau baju hujan, sampai basah lencun.

Hati dan jiwa juga basah lencun sekarang - bukan dengan 'iman dan roh perjuangan', tapi basah oleh hujan ribut perubahan. The winds of change bring with it rainstorm and occasionally, thunderclouds. Hingga sejuknya menusuk ke tulang, saya yang kehujanan menggigil keseorangan. Saya benar-benar keseorangan sekarang - makmum yang berdiri sendirian tanpa imam.

Adik-adik, kalau kakak culas menghubungi kalian, lalai membalas keluh cerita kalian, maafkan, maafkanlah.

Saya menyepi daripada berkongsi apa-apa nasihat atau nukilan tarbawi daripada hati, kerana tiap-tiap kali tergerak untuk memberi, saya berasa kosong, seperti selut lumpur yang tidak ditumbuhi tanaman, saya tidak ada apa-apa untuk diberikan.

Mana mungkin saya menghulur kata manis, menyusun hikmah, sedangkan saya sendiri terkapai-kapai mencari kekuatan di tempat baru yang rasanya begitu asing. Mana terdaya saya menjadi muzakkir yang menitipkan peringatan buat adik-adik dan teman-teman, sedangkan saya sendiri seolah-olah telah terlupa akan semua janji dan ikrar perjuangan?

Kuyup lencun jiwa ini dengan peluh dunia, meleleh menitik mengaburkan mata.



III

Alhamdulillah 'ala kulli haal. Segala puji buat Allah SWT atas segaka ketentuan dan kurniaanNya, sungguh Dia Maha Baik lagi Maha Bijaksana. Hamba yang jahil sering melupakan Dia, tetapi Dia, Maha Suci lagi Maha Tinggi, sentiasa mengurniakan rahmat dan pertolonganNya yang berlimpahan.

Memulakan hidup baru di tempat baru, sebagai manusia yang baru adalah sukar. Memang, saya merasakan bahawa diri ini sudah menjadi orang lain. Atau mungkinkah inilah saya yang sebenar, yang timbul ke permukaan setelah lepas bebas daripada rangkulan jemaah dan usrah di UK?

Allah mengizinkan manusia baru ini mempelajari bermacam-macam perkara baru. Dalam keadaan jahil tidak mengerti, seperti si buta teraba-raba dalam dewan bersalin, dewan bedah, dan wad-wad materniti, dileteri dan dimarahi, ketakutan kerana tidak cekap dalam skil-skil penting, keliru tidak faham kaedah pengurusan pesakit, sungguh saya diingatkan semula, bagaimana rasanya menjadi hamba Tuhan. Bagaimana rasanya bergantung penuh bimbang, harap dan pasrah kepada Tuhan. Bagaimana rasanya menjadi lemah, bodoh dan tidak pandai. Begitu saya disedarkan tentang kerdilnya diri saya, betapa tidak hebatnya saya, dan betapa perlunya saya kepada pertolongan.

Pertolongan yang berpunca daripada Allah, tetapi ada yang dihadiahkan melalui manusia lain. Manusia yang merupakan rakan-rakan sekerja saya. Alhamdulillah, rakan-rakan sekerja saya - baik para HO, MO, mahupun jururawat - adalah anugerah Allah untuk saya.

Saya tidak suka - sering berasa tidak perlu - bergantung kepada orang lain, terutamanya dalam bidang akademik dan profesional. Kebanyakan perkara saya pelajari sendiri dengan bantuan minimal daripada orang lain. Subhanallah, di O&G HRPZ2 ini, saya belajar indahnya apabila rakan-rakan, senior dan jururawat mengajar saya bermacam-macam perkara, indahnya berasa tidak pandai lalu diajar sehingga perlahan-lahan bertambah pandai.

Saya belajar rasa perlu kepada pertolongan orang lain. Saya belajar bagaimana kerja berpasukan. Saya belajar berkawan dengan rakan-rakan sekerja.

Satu kemahiran yang amat saya kurang - workplace social interaction. Mungkin kerana rasa janggal berkomunikasi dengan doktor dan jururawat British, mungkin kerana saya memang too much of a loner.

Di sini, Tuhan mengizinkan saya belajar dan menikmati, apa rasanya menjadi ahli sebuah 'keluarga kerja' yang saling membantu dan melengkapi.


IV

Baru-baru ini, saya menerima sebuah mesej yang menyapa saya dengan gelaran 'ukhti'. Ada amanah yang dipesan, ada tugas yang perlu ditunaikan.

Diri saya yang 'baru', diingatkan semula tentang dunianya yang lalu. Gelar 'ukhti' itu mengingatkannya akan siapa dirinya, apa yang telah ia lalui, sahabat-sahabatnya, ikrar janjinya, dan tentang mardhotillah yang perlu dicari bergalangkan jihad harta dan nyawa.

Saya seperti disapa angin, ditegur bulan. Masa transisi sudah panjang berlalu. Doakan saya kembali melangkah laju.

Adik-adik, teman-teman, anak-anak usrah, rakan-rakan seusrah, naqibah sekeluarga, ahli Sidratul Muntaha dulu dan sekarang, dan semua sahabat seperjuangan.

Saya rindu.

Dalam doa rabitah dan laungan doa wehdah antum, titipkan sedikit ingatan untuk ana di sini.