02/06/2011

yun

"Saya mahu duduk Dublin sampai orang Dublin bosan dengan saya."

Taklah begitu. InsyaAllah 4 Jun nanti, saya akan belayar pulang ke Manchester semula (hanya untuk ke bandar lain pula tengah hari esoknya).

Satu perbezaan mengembara kali ini, adalah banyaknya waktu untuk dihabiskan seorang diri. Seorang diri di sebuah kota yang tidak biasa, untuk manusia yang sungguh sering sesat (amat-amat directionally challenged), adalah pertualangan yang menarik. Benar, saya tidak ingat jalan-jalan yang dilalui, tertidur dalam kenderaan, tersalah simpang, berpusing-pusing dalam bangunan hampir di mana sahaja pergi - namun saya terlalu selesa merayau-rayau sendirian. Paradoks?

Ada rasa bebas dan merdeka ketika menjenguk satu demi satu kedai buku, menghayati irama moden-etnik pemuzik jalanan, dan melangkah mengikut kaki mencari jalan pulang dari tengah bandar sambil berfikir "Aku masih ada dua jam sebelum hari gelap."

Sudahnya saya beralah dan mencari perhentian bas juga. Kaki minta ampun!

Itu kisah petang semalam.

Yun, ertinya awan. Awan kota ini, tampak lain rupanya dengan awan kota Manchester.

No comments:

Post a Comment