08/06/2011

setia

wangian

Saya senang dengan wangi-wangian. Sejak kecil, mendewasa dengan haruman kesukaan ayah, atar White Musk dalam botol kaca tebal silinder jernih bertutup putih. Kepalanya bebola plastik yang bergolek-golek merembeskan kucuran pekat, dipalit sedikit ke badan, wanginya semerbak seluruh ruang. Menolong menguruskan pakaian ayah, haruman itu melekat pada helaian baju, tidak lut oleh sabun basuh dan cahaya matahari.

Setelah pandai bermain dengan wangian, terus yang serupa juga menjadi pilihan saya. Sehingga rakan-rakan cekap meneka, kalau tiba-tiba harum White Musk itu mengapung, maka tentu sayalah yang menghampir. Beberapa wangian lain ada dicuba, sementelah saya punya ibu dan adik-adik perempuan dengan citarasa pelbagai, namun pati jernih jebat putih itu juga yang melekat di hati.

Hanya beberapa tahun kemudian, apabila belajar di luar negara, barulah saya terpaut dengan wangian lain, walaupun tiada satu pun yang mencapai taraf atar White Musk dari botol kaca tebal silinder itu pada deria saya. Cuma sekali - ketika berwisata ke Spain, jalan-jalan dari satu toko ke satu toko tanpa niat mau membeli apa-apa - saya terpaut kepada satu ciptaan wangian, yang mulanya hanya dicuba untuk bersuka-suka.

Ternyata ia tidak membenarkan saya pergi tanpanya, justeru hampir empat puluh euro bertukar tangan, wangi manis-manis lembut Dolce & Gabbana The One, yang mengingatkan saya kepada bersiar-siar dalam taman penuh bunga saat angin bertiup manja, telah memikat tanpa saya berani menukar rasa.

Suatu hari, saya tergerak mau memalit wangian White Musk milik teman serumah. Tidak sama dengan cairan atar jernih dari botol kaca tebal silinder berkepala putih yang saya kenali daripada ayah, namun semerbaknya tidak jauh beza. Maka sepanjang wangian itu belum larut lesap, sepanjang itulah berbagai-bagai perasaan, perasaan yang datang kerana peristiwa yang berlaku pada tahun-tahun yang lampau, ketika wangian itu saya gunakan selalu, peristiwa yang tidak pun saya ingat perinciannya, malah ada perasaan yang langsung sudah saya lupa apakah penyebabnya.

Pernahkah kamu mengalami serupa itu? Bauan, bunyi, warna, apa-apa saja pemicu deria yang memanggil perasaan, mengingatkan kepada satu-satu kenangan - tetapi ia datang seperti merpati yang pura-pura jinak tetapi cepat melompat pergi, seperti hafalan yang bermain-main dalam ingatan tetapi tidak dapat disebut oleh lisan, kenangan yang tidak dapat diberi rupa yang jelas.

Sewaktu di Kelantan, melalui elektif sebulan yang pertama di Hospital Universiti Sains Malaysia, penginapan saya hampir dengan pasar mega Mydin. Ketika masuk untuk membeli keperluan harian, saya tergerak untuk menziarahi bahagian wangi-wangian. Minyak atar bersusun-susun, pelbagai jenis dan nama, ditulis atas label kertas yang ditampal mudah atas botol kaca.

Wangi bunga melur, ketika itu dan hingga kini, banyak menghantui jaga dan mimpi saya. Lalu sebotol atar jasmin saya ambil dan belek-belek. Seringkali, saya berbelanja hanya atas dasar perlu, maka berbelah bahagi, mau membelinya atau tidak. Akhirnya saya menuju ke kaunter, bertanyakan harganya, dan pulang bersama botol kaca tebal silinder warna kekuningan yang kata gadis juruwang, isinya disuling di Tanah Arab.

Dipalit ke pergelangan tangan, lipatan pakaian, telekung solat, mengharumkan beg tangan, dan mungkin melekat di kulit terjemahan al-Quran kesayangan, wangi melur dari atar jasmin itu selalu berapungan, pekat yang perlahan-lahan menipis menjadi haruman yang lembut.

Wangian jasmin ini juga, suatu hari nanti, akan menjadi seperti White Musk dan Dolce & Gabbana The One - selagi ingatan saya masih ada, menciumnya akan mendatangkan berbagai-bagai macam perasaan dan peristiwa, yang ada kalanya tidak dapat pun saya namakan.


kafe dan aiskrim

Berkunjung sesekali ke kafe, untuk mencicip minuman panas diiringi kuih manis, sambil berehat-rehat dalam ambiens damai kecoklatan dan membelek muka surat buku pilihan, menu yang saya pesan jarang-jarang amat berubah.

Coklat panas dalam cawan lebar yang dipicitkan krim putih bertabur serbuk coklat, dan muffin beri biru dalam mangkuk kertas yang besar. Dengan sudu saya akan menghirup sedikit-sedikit minuman coklat itu, sambil menggetis muffin, yang sesekali saya celupkan dalam coklat sebelum disuap. Makanan apa pun, kalau dicicah ke dalam minuman, akan menjadi tambah sedap!

Berkali-kali pergi ke kafe yang sama, saya tidak memesan menu yang lain.

Berkunjung sesekali ke kedai aiskrim, selalunya untuk memanjakan diri dengan juadah manis faluda - aiskrim bersama sirap bersusu dan jeli rerambut persis cendol - jarang-jarang amat saya menukar jenis aiskrim yang diminta. Sentiasanya, ia adalah aiskrim kacang pistachio, putih dengan biji-biji kacang kasar rangup.

Berkali-kali pergi ke kedai aiskrim yang sama, amat jarang saya memesan faluda dengan campuran aiskrim yang lain.



baik pada wangian, mahupun pada pilihan menu yang dipesan
setia, atau malas mencuba, atau takut kepada perubahan?

No comments:

Post a Comment