03/06/2011

baik dan terus baik

Tentu kebanyakan daripada kita, pernah mengenal kawan-kawan yang 'baik'. Soleh, atau solehah - pada ukuran Muslim.


***

Golongan ini selalunya tidak tergolong dalam kategori bising, walaupun tidak dinafikan pengecualian wujud di mana-mana. Dalam kelas tak banyak bergosip apatah lagi mengorat sesuka hati, saiz tudung mungkin lebih besar daripada purata, dan kalau lelaki mungkin kopiah menjadi aksesori - kadang-kadang serban dililit mengikut kesesuaian. Quran dikelek ke mana-mana. OK, garispanduan di atas mungkin kelihatan begitu cetek. Kulit-kulitan.

Namun 'baik' yang dimaksudkan ini, bukan hanya kulit-kulitan. Baik yang dilihat, terpancar pada akhlak dan amalan. Kalau di asrama/tinggal serumah, tentu kita maklum sahabat-sahabat istimewa yang sudah bangkit untuk tahajjud ketika kita masih berperang sabil dengan selimut atau duvet. Masjid dan surau menjadi habitat mereka. Seperti di kolej dulu, waktu rehat ada yang istiqamah ke masjid untuk solat Dhuha. Di asrama MRSM, 'golongan terhormat' ini bagi saya antara sifatnya adalah yang mampu tetap berjemaah Subuh di masjid. (Saya... pernah tertangkap solat Isyak dalam dorm oleh warden, yang duduk di tepi katil menunggu saya selesai, sempat berpesan lagi "Haaa doa lah panjang-panjang!" aduhh)

Kalau menziarah kamarnya, yang kedengaran (kalau ada bunyi) adalah bacaan al-Quran, nasyid, atau zikir, paling-paling meriah pun muzik lembut instrumental. Tutur katanya lembut dan sopan (bukan lembik atau berunsur sotong), bicaranya tidak bosan tetapi tidak galak melalaikan, ungkapan tazkeer dan hikmah meluncur mudah dan terus sampai ke hati yang menerima.

Akhlaknya cantik, indah, berbudi dan membantu tidak berkira, sesekali tidak menyakiti hatta tanpa sengaja. Bersamanya kita rasa selamat, selesa, malah tidak keterlaluan kalau dikatakan, rasa dilindungi, walaupun dia ini sama baya atau mungkin lebih muda. Pembawaannya damai mendamaikan, melihatnya, kita juga menumpang tenang. Kita yakin, dia ini manusia yang dekat dengan Tuhan, yang malaikat sebelah kanan sentiasa sibuk mencatatkan amalan.


***

Saya tidak bercakap tentang lawan jantina. Ini bukan tulisan berunsur 'Ketika Cinta Bertasbih', 'Mencari Mas Azzam', 'Siapa Anna Althafunnisa', atau 'Dalam Mihrab Cinta - Antara Zizi dan Zilfi, Tak Penting kerana Yang Kacak Adalah Syamsul Hadi'.

Yang dapat diperhatikan dengan jujur serupa ini, hingga tahu gaya hidupnya setiap inci, tatap jernih wajahnya setiap riak tanpa rasa berdosa, adalah sahabat sejantina. Muslimah, jika kamu perempuan. Muslimin, jika kamu lelaki.

Dan benar, para Muslimah seperti yang saya tatakan di atas, benar-benar wujud dan pernah saya kenal. Kebanyakan daripada mereka, adalah baik serupa itu pada mula-mula saya mengenal mereka, dan terus juga menjadi baik, bahkan semakin baik pada kali terakhir saya mendengar khabar/bersua muka. MasyaAllah.


***

Hari ini, alhamdulillah, saya adalah lebih baik daripada diri saya 12 tahun yang lepas. Lebih baik daripada diri saya, 8-9 tahun yang lepas. Lebih baik daripada diri saya, 6-7 tahun yang lepas. Bahkan lebih baik daripada diri saya, 2-3 tahun yang lepas. Maha Suci Allah SWT yang sentiasa mengizinkan hambaNya berusaha memperbaiki diri. Masa-masa lalu saya, bertaburan dengan kenakalan, kebodohan, serta keangkuhan yang saya imbas semula dengan tawa-tawa kecil - malu, syukur, lucu!

Kakak pernah berpesan, apabila menangis meraung kerana sesuatu perkara, jangan biarkan tangisan itu sia-sia. Segala silap lepas, tentu tidak boleh dibiarkan sia-sia. Sesuatu yang lebih baik mesti dikeluarkan daripada timbunan yang bercampur-campur baik dan buruk.

Namun betapa baikpun saya rasa diri saya sekarang, saya tidak berasa sama baik, apatah lagi lebih baik daripada sahabat-sahabat yang 'baik' yang saya sebutkan tadi. Lebih menakutkan, saya tidak tahu cukup baikkah saya pada pandangan Allah SWT. Tambahan pula saya tidak tahu adakah graf kebaikan saya ini akan naik i.e. semakin baik atau turun i.e. menjadi semakin kurang baik pada masa akan datang. Perubahan besar, amat besar akan berlaku dalam hidup.

Meninggalkan alam selesa belajar di bumi sejuk UK, terjun ke alam bahaya bekerja di bumi panas Malaysia - dengan sokongan persekitaran, ketahanan mental-fizikal, dan cabaran yang belum ketahuan. Kalau hari ini saya mampu bangkit solat Subuh selepas tidur nyenyak di atas katil empuk, esok mampukah saya mengheret kaki, lantas memanggil khusyuk mengerjakan solat Zuhur selepas lebih 24 jam bertugas tanpa hanti? Kalau hari ini saya terdaya membaca al-Quran sekian-sekian muka untuk sekian-sekian waktu, esok terdayakah saya menziarah surah-surah yang dilazimi barang sekali dalam beberapa hari?

Kalau hari ini saya memandang jengkel kepada artis dan penghibur picisan, mungkinkah esok saya akan bertandang ke kelab-kelab hiburan? Kalau hari ini saya bertudung lebar, esok adakah hujungnya akan memendek atau terpusing di leher? Kalau hari ini saya sopan beradab dengan lelaki, esok adakah akan selamba keluar makan berdua di kafe hospital atau di restoran malam hari? Kalau hari ini saya (agak) konservatif, esok mungkinkah saya jadi liberalis?

Kalau hari ini saya berasa sebahagian daripada harakah Islam, di manakah hati saya akan berada esok hari?

***

Apabila sudah menyelesaikan tuntutan fardu, dan menambahkan yang sunat-sunat, dan cuba menyempurnakan ihsan dalam setiap amalan, penyakit-penyakit hati pula datang berbondong-bondong. Riya', takabbur, 'ujub dan sum'ah.. dengki, buruk sangka, benci, dendam... gerombolan samseng kampung dusun yang tidak jemu-jemu menyelinap di setiap kesempatan. Penat bersilat melawan, hingga termengah-mengah penat... sambil dengan kecewa bercampur harap, membilang-bilang sisa pahala yang masih berbaki.

Menjadi baik ini susah, amat susah. Terus menjadi baik adalah lebih susah. Menjadi bertambah baik adalah paling susah. Semakin baik kamu, semakin susah untuk menjadi bertambah baik. Pernah cuba menurunkan berat badan? Tahukah bahawa pada mulanya berat agak mudah untuk diturunkan - kemudian semakin lama, semakin susah, sementara untuk menambah berat tiba-tiba menjadi terlalu senang.

Memerlukan bertahun-tahun untuk membina sebuah kota, tetapi hanya beberapa detik yang pendek diperlukan untuk meruntuhkannya. Tidak sukar untuk ayahanda Adam dan bonda Hawa tercampak dari syurga, lebih tidak sukar untuk manusia seperti kita - seperti saya - tersilap langkah dan terjatuh mendekati neraka.

***

Saya sentiasa kagum dengan sahabat-sahabat (Muslimat, dan Muslimin juga, setakat yang dipandang pada zahirnya) yang berubah menjadi baik atau bermula sebagai baik, lalu terus menjadi baik, bahkan bertambah baik. Kekuatan apa yang kalian punya, sehingga tiada jemu-jemunya terus berusaha mendaki tangga-tangga, menambah kebaikan, seolah-olah tidak terduga dengan cubaan, tidak tergoda dengan ujian?

Kalian bukanlah manusia sempurna - tetapi usaha kalian mencari sempurna itu, tanpa penat-penat. Saya juga ingin menjadi begitu baik, begitu kuat.

Saya pingin punya istiqamah yang mahal harganya, rumit sifatnya, payah amalnya, namun besar ganjarannya.

***

Dan ... seperkara yang saya akan rindu amat-amat jika telah pulang ke tanah air nanti, adalah manusia-manusia baik serupa ini. Akan jumpakah lagi?

1 comment:

  1. ade inshaallah adibah, tentu saja kau yg perlu dulu baik makanya Allah akan himpun engkau bersama yg baik2 soleh solehah belaka...aku mahu jadi sebahagiannya.. amen =)

    ReplyDelete