05/07/2011

persoalannya adalah apabila kita mati

Selalu didengar, dengan tujuan murni untuk memberi peringatan,

"Awak bayangkan bagaimana kalau awak mati esok."

Kepada yang mengejar dunia dan mengimpikan populariti, yang bersedih duka kerana gagal bercinta atau ditinggalkan kekasih hati,

"Bayangkan kalau mati malam ini, masihkah apa yang awak cita-citakan ini penting? Masihkah apa yang awak kejar ini bermakna?"

Kepada yang sedang berfoya-foya, melalaikan amanah, berpalit dengan amalan lagha, bergelak ketawa dengan bukan mahram, berdandan anggun untuk keluar melakukan maksiat dan dosa,

"Bayangkan kalau mati sekejap lagi, adakah awak masih akan buat apa yang sedang dibuat ni?"


***

Manusia, selagi mana ia percaya kepada Tuhan, tetap akan meminta kepadaNya. Malah yang mengaku tidak percaya juga akan meminta apabila terdesak. Apa yang diminta dengan paling tulus, paling bersungguh-sungguh, tentu saja apa yang paling dihajatkan, yang paling dirisaukan.

Adakah bersungguh-sungguh kita meminta syurga, takutkan neraka dan merayu keampunan,
sama bersungguh-sungguh dengan meminta sihat, selamat menikah dan lulus peperiksaan?

Kita sentiasa mendoakan kebaikan untuk masa hadapan. Berjaya lulus dalam peperiksaan, pekerjaan yang baik, sembuh daripada sakit dan sihat sentiasa, pasangan yang soleh(ah) dan baik rupa... hampir semua doa kita, perincian dalam permintaan kita, berkisar tentang dunia, tentang masa depan kita di dalam dunia. Masa depan yang kita rasa jelas, yang dirasakan nyata dan akan berlaku.

Doa yang kita peruntukkan untuk masa depan yang lebih jauh ke depan, iaitu masa depan di dalam barzakh dan di dalam akhirat, tidak banyak variasi. Minta dijauhkan seksa kubur, dilepaskan daripada azab neraka, diterima ke dalam syurga. Mungkin kerana pengetahuan kita tentang alam ghaib sebelum lahir dan selepas mati itu tidak banyak. Mungkin kerana alam ghaib - terutamanya selepas mati - kita rasakan bayang-bayang, jauh, tidak maujud boleh dipegang, tidak seperti kerusi meja, slip peperiksaan, kad undangan dan foto perkahwinan.. justeru ia tidak berasa seperti kenyataan.

Lantaran itulah apabila disuakan dengan peringatan bernada "Kalau mati esok..." atau "Kalau mati malam ini..." atau "Kalau mati sekejap lagi..." mungkin insaf dan takut akan datang untuk sesaat, namun minda rasional akan memperingatkan kita - dan peringatan ini amat betul - bahawa kebarangkalian untuk hidup itu lebih besar.

Benar kita boleh mati bila-bila sahaja, benar bumbung di atas kepala saya ini boleh roboh tiba-tiba (dan menimpa saya sekarang), benar Malaikat Maut boleh mencabut nyawa sesiapa sahaja tanpa amaran apabila takdirnya datang (jantung saya tiba-tiba berdegup lebih jelas, barangkali berdebar-debar dengan peringatan yang sedang ditulis oleh jari - sempatkah saya hidup untuk menyiarkan tulisan ini dalam blog?) - tetapi rasionalnya, kebarangkalian yang lebih besar adalah, kita akan hidup.

Kita akan hidup, dan terpaksa mendepani segala cabarannya, lalu untuk mendepani cabaran-cabaran itu, kita memerlukan pertolongan Tuhan. Ada yang pernah berkata dengan bijaksana, untuk mati itu mudah, untuk hidup lebih sukar. Lantas kita mengarang senarai permohonan kepada Tuhan, bersungguh-sungguh memohon hajat tentang kehidupan yang kita sangka bakal didepani.

Kesungguhan kita meminta untuk dunia yang bakal didepani juga tetapi mungkin lambat lagi - dunia selepas mati - boleh jadi tidak segigih itu.

Meminta, bimbang-bimbang, dan merancang untuk kehidupan dunia adalah tindakan yang betul. Amat betul. Benar, dari semasa ke semasa kita akan dikejutkan oleh berita kematian - rakan-rakan yang masih muda, yang kita kenal, yang dijemput pergi dengan mengejut, yang jatuh sakit tiba-tiba - tetapi majoriti antara kita, akan hidup. Lalu dengan jangkaan itulah, kita melalui kehidupan sehari-hari. Kita bersedia, meminta, bimbang-bimbang dan merancang untuk kehidupan hari esok yang tidak pasti, tetapi kebarangkaliannya lebih besar bahawa ia akan tiba untuk kita hadapi.


***

Maka persoalan yang lebih tepat untuk mendatangkan renungan yang mendalam, sekaligus berusaha mencetuskan keinsafan, bukanlah "Kalau mati esok..."

Persoalannya, adalah "Apabila kita mati nanti..."

Mati atau hidup esok adalah pertembungan antara dua kebarangkalian, sedangkan kematian itu sendiri adalah sesuatu yang pasti. Kita menjalani hidup dan bersedia untuk mendepani esok hari berhujahkan kebarangkalian, sedangkan tamatnya masa hidup dan mendepani pengadilan Tuhan itu adalah satu kepastian (jika anda, seperti saya, juga mempercayai Tuhan dan hidup selepas mati). Yang mana satu menang?

Jangan letakkan faktor masa di sini. Esok atau lusa atau 35 tahun lagi, mati itu akan tiba dan hidup akan berakhir. Sekarang pun, apabila mengenang waktu kanak-kanak, atau waktu remaja, kita manusia akan menoleh ke belakang dan merasakan bahawa hidup yang dilalui terlalu singkat. Tidakkah logiknya, begitu juga yang akan kita rasakan selepas mati.

Disebut di dalam al-Quran tentang manusia yang menoleh ke belakang, dan merasakan bahawa kehidupan hanyalah selama sepetang, atau lebih pendek daripada itu. Ya tuan-tuan dan puan-puan, sama ada kita hidup 20 tahun, 30 tahun, atau 40 tahun, apabila semuanya berakhir, mungkin kita akan menoleh ke belakang dan merasakan bahawa semuanya berlalu hanya sekilas.


Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu. (Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihat : Seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.
[An-Naazi'aat, 79:45-46]


Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi? Mereka menjawab : Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung (umur). Allah berfirman : Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia).
[
Al-Mu'minuun, 23:112-114]


Beza antara hidup di dunia selama 20 tahun, 30 tahun, atau 80 tahun, jika dibandingkan dengan infiniti kehidupan selepas mati, adalah tidak signifikan.

Kalau kita berasa sedih atau kecewa kerana sesuatu hari ini, adakah ia akan penting dan bermakna selepas kita mati? Kalau kita berasa bangga kerana sesuatu hari ini, adakah ia akan bererti apa-apa ketika Izrail sedang menarik nyawa keluar daripada setiap rongga badan? Kalau kita marah atau benci kepada seseorang hari ini, adakah perasaan itu akan mempunyai sebarang maksud setelah roh bertukar alam? Kalau kita melakukan sesuatu pada ketika ini, adakah ia akan memberi sebarang nilai ketika kita terdesak mengharapkan sezarah pun kebaikan untuk ditambah atas neraca di padang mahsyar?


***

Satu persoalan tambahan. Mengapa kita semua begitu takut kepada mati? Ya, takut kerana banyak dosa, tidak sempat bertaubat, tidak dapat kumpul pahala yang cukup. Tiada jaminan bahawa kehidupan yang lebih lama, menjanjikan kehampiran yang lebih kepada Tuhan, atau keampunan yang lebih besar.

Tengok, kita pandai bermain-main dengan kebarangkalian. Kita menggula-gulakan diri sendiri dengan kebarangkalian sempat bertaubat, meminta ampun menghapuskan dosa, dan menimbunkan pahala, tetapi melupakan kebarangkalian dosa bertambah banyak dan kian jauh dengan Tuhan seiring bertambahnya usia. Sedangkan dua kebarangkalian ini lebih kurang sama besarnya - tidak sama dengan perbandingan 'mati esok atau hidup esok'.

Saya bukan hendak menganjurkan kita semua meminta mati atau berhenti hidup. Betul, kalau dirasa-rasakan mati itu sangat dekat, hendak berdoa memohon kebaikan-kebaikan dunia pun rasa tak berminat. Tak bersemangat. Contohnya, apabila menadah tangan meminta suami yang baik, tetapi dalam hati terasa amat-amat... kalau aku mati dalam jangkamasa terdekat ini, jodoh dan kahwin tentu tak mustahak langsung untuk difikirkan. Begitu juga jika memikirkan tentang kerja dan masa hadapan. Yang ditakut-takutkan adalah sakaratul maut dan azab kubur dan neraca amalan.

Harus diingat, matlamat akhir kepada doa bukanlah untuk mendapatkan apa yang dihajatkan - tetapi ia adalah ibadah, satu pengakuan kepada kehambaan diri dan kekuasaan Tuhan. Justeru walaupun tiada kepastian tentang hidup dan mati, berdoalah, mintalah kebaikan-kebaikan dalam dunia ini, kerana kalaupun kita tidak sempat hidup untuk menikmati makbulnya doa, ganjaran daripada ibadah berdoa itu tetap ada, dengan rahmatNya.

Berdoalah dengan penuh pengharapan dan rasa lemah, tidak berdaya - mintalah kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat - sebagai tanda kesaksian bahawa hanya kepada Tuhanlah kita menyerahkan segala-galanya.

Satu doa yang dimohonkan oleh Nabi SAW, terjemahan dalam buku yang saya gunakan adalah dalam Bahasa Inggeris,

"...O Allah, by Your Knowledge of the unseen and by Your Power over creation, let me live if You know that life is good for me, and let me die if You know that death is good for me..." daripada An-Nasa'i 3/54,55, Ahmad, 4/364, tengok juga Al-Albani, Sahih An-Nasa'i 1/281.

Kita diajar meminta daripada Tuhan agar membiarkan kita hidup, jika hidup itu lebih baik, dan menentukan mati, jika mati itu benar lebih baik.


***

Persoalannya, ya, bukanlah jika kita akan mati esok atau lusa, tetapi, apabila kita mati nanti, apakah yang akan penting dan bererti?

Dari Imam Bukhari,

Rasulullah SAW diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a., sebagai bersabda yang bermaksud,
“Hendaklah engkau jadikan dunia ini seolah-olah berdagang di negeri orang atau sebagai orang yang melintasi jalan."

Ibnu Umar r.a. berkata,” Jika kamu berada diwaktu petang janganlah kamu tangguh diwaktu pagi dan jika kamu berada diwaktu pagi janganlah kamu tangguh diwaktu petang. Rebutlah kesempatan sewaktu kamu berada didalam keadaan sihat, sebagai persediaan diwaktu engkau sakit dan ketika engkau masih hidup sebagai bekalan ketika engkau mati”.

No comments:

Post a Comment