Minggu ketiga dan keempat, saya ketemu kamar sewa yang lebih murah, RM300 untuk dua minggu, bilik kecil dengan pendingin hawa dan bilik air en suite juga, serta sebuah televisyen besar yang tidak pernah saya cuba pasang. Letaknya setingkat di atas toko buku Muda Osman, 15-20 minit berjalan kaki untuk sampai ke Wad 7. Kadang-kala ada cicak, dan ada bau 'aneh' juga... entah dari pendingin hawa, entah dari mana yang malas saya periksa. Tingkap yang selalu saya biarkan suku terbuka, menghadap ke laman belakang yang penuh semak belukar dan mungkin ada sebatang dua pokok pisang. Dinihari boleh dengar ayam berkokok, setiap waktu solat, azan dari masjid berdekatan (yang entah di mana sebenarnya) jelas berkumandang.
Setiap kali pergi ke dan pulang dari hospital, saya akan lalu di hadapan bangunan Bank Islam. Ketika itulah, saya perasan tentang seorang lelaki yang duduk meminta derma di situ. Orangnya masih belum banyak usia - belum sampai tiga puluhan, saya yakin - namun pada mata saya, rautnya sudah dibakar matahari dan dilusuhkan kesukaran yang entah apa, sehingga tiada muda lagi yang bersisa. Baju Melayunya hijau pucat, manakala kopiahnya putih yang sudah kumal. Dia duduk di atas kaki lima, berhampiran longkang, dekat dengan pintu kaca bank, bersama kotak tabung bertuliskan permohonan derma untuk madrasahnya. Dia hanya duduk di situ, tidak berkata apa-apa, mungkin membiarkan sekujur jasadnya dan kotak tabung itu menceritakan segala-galanya.
Siapa dia? Bagaimanakah cerita hidupnya, mengapakah dia duduk diam di situ, dan apakah yang bermain dalam fikirannya? Apabila dia pulang pada lewat petang, di manakah kediamannya? Seperti apakah tempat tinggalnya, siapakah yang menyambut kepulangannya?
Suatu petang, letih amat, langkah dihayun meninggalkan pekarangan hospital, dan tekak terasa kering. Laju melintas jalan, bagai dipandu-pandu, masuk ke restoran mi, yang rasanya terletak dalam blok bangunan yang sama dengan Bank Islam. Segelas karot susu ais dan senaskhah akhbar, dan saya memilih tempat duduk berhampiran kaunter dan mendail nombor telefon adik di UIA.
Terlintas - oh, di sini, mana ada perempuan seorang diri lepak-lepak minum, baca akhbar dan berbual telefon di kedai makan!
Sedang asyik berbual, saya terperasan lelaki berbaju Melayu hijau pucat di depan Bank Islam itu masuk. Melintas di sebelah meja saya, memesan makanan di kaunter. Nasi bungkus. Cepat saja pesanannya itu dapat, lantas dia mengambil tempat selang dua meja di hadapan saya.
Siapa dia? Bagaimanakah cerita hidupnya, mengapakah dia duduk diam di situ, dan apakah yang bermain dalam fikirannya? Apabila dia pulang pada lewat petang, di manakah kediamannya? Seperti apakah tempat tinggalnya, siapakah yang menyambut kepulangannya?
Saya tidak kisah keluar malam hari seorang diri, atau lepak di kedai makan seorang diri. Itu adalah perkara biasa bagi saya di Manchester, dan melakukannya di Kubang Kerian tidak menjadi masalah untuk saya. Namun menegur lelaki itu, menemuramahnya dan bertanyakan kisahnya - 'kerana awak telah menjadi pencetus ilham untuk saya berkarya' - walaupun amat normal jika dilakukan di Manchester, adalah suatu perbuatan amat luar normal di mana-mana tempat pun di Kelantan, dan saya masih belum bersedia melakukannya.
Siapa pun kamu, pemuda pondokan, terima kasih.
***
Selepas empat minggu di HUSM, saya menyambung praktikal di KZA. Dari awal pagi santak ke lewat malam, di sebuah klinik di ceruk desa, sebuah bangunan yang jauh dari jalan besar, hampir dengan masjid dan (kalau tidak silap) tanah perkuburan, melihat pesakit daripada pelbagai latar belakang. Pelbagai watak dan pembawaan. Rata-ratanya membawa pengharapan yang sama - kesembuhan, kelegaan, atau setidak-tidaknya mendamba sedikit rasa faham, rasa mengerti, rasa mampu mengawal apa sahaja kecelaruan fizikal (mungkin mental) yang sedang melanda.
Kali ini saya menumpang di sebuah rumah yang bersetentang dengan klinik itu. Sungguh, rezeki itu milik Allah, dan Dia mengurniakannya dengan cara yang tidak disangka-sangka. Ketika saya dan keluarga penasaran mencari tempat menginap, kami dipermudahkan jalan untuk mengenali nenek saudara teman baik saya di Manchester, yang tinggal berdua bersama suaminya, yang sudah renta, kembali naif dan lupa-lupa, tetapi masih mampu mengajar kitab kepada murid yang setia. Bilik besar di tingkat atas itu menjadi kediaman saya sepanjang di KZA, makan minum bersama, dan saya mendapat nenek dan datuk yang baru.
Nenek yang pagi-pagi mengutip bunga cempaka dan tikam seladang, lalu memberikan segenggam untuk saya yang memang menggemari harum-haruman. Datuk yang bertanya ke mana perginya 'doktor' apabila saya keluar ke klinik sepanjang hari. Dengan mata kelabu berairnya, sering merenung dalam-dalam wajah saya, dan mencuit dagu penuh mesra, sesekali bertanya dengan minat seorang kanak-kanak, minta mengajarnya makna istilah-istilah moden dalam suratkhabar.
Suatu malam, seperti selalu usai solat Isyak saya akan menapak laju ke klinik untuk meneruskan 'kerja' pada syif malam pula. Nenek suka menunggu di tepi pagar rumah untuk memastikan saya selamat membelah gelap sampai ke laman depan klinik yang terang disuluh lampu. Memasuki salah sebuah bilik rawatan, saya cepat menangkap 'pemandangan' yang agak kurang biasa dilihat. Beberapa orang anak muda - saya kira awal belasan tahun - dengan wajah tulus bersih jernih amat, duduk berceratukan di tepi dinding. Seorang lagi - mungkin sekali teman mereka, berjubah putih dengan baju-T dan seluar panjang di dalam - terbaring mencungap di atas katil dengan tiub oksigen terperosok dalam rongga hidung.
Pesakit, seperti biasa, ramai, masing-masing mengharap perhatian. Doktor meminta saya menjenguk adik yang terlantar sesak nafas itu, mendapatkan kisahnya, menyelidik latar belakang keluarganya. Anak muda 15 tahun yang sihat tanpa sejarah punya penyakit lelah, pelajar biasa di sebuah sekolah tahfiz, tiba-tiba mencungap sehingga dikejarkan kawan-kawannya ke klinik, mungkinkah ada cerita lain yang mendalangi petanda fizikalnya?
"Adik mesti ada cita-cita kan? Bila besar nanti nak jadi apa?"
"Nak jadi hafiz Quran."
"Erm, semua yang belajar sekolah tahfiz pun nak jadi hafiz kan. Adik nak jadi apa ya sebenarnya?"
Dia tunduk, diam tidak menjawab. Agak lama. Mengahnya sudah reda.
"Cakaplah, adik bercita-cita nak jadi apa?" nada memujuk. Ah, saya punya dua adik lelaki, umur tidak terlalu jauh beza dengan adik ini. Bukan susah menjadi 'kakak'.
Tanpa mengangkat muka, dia bersuara perlahan,
"Saya nak jadi doktor. Doktor yang hafiz."
Subhanallah, tulusnya.
***
Gambaran pesantren dalam filem pop religi Indonesia - beberapa yang saya ingin sebut, Ketika Cinta Bertasbih I dan II, Syahadat Cinta, Dalam Mihrab Cinta - begitu 'plastik' pada mata saya. Seperti kuntum mawar palsu yang cantik berkilat-kilat, setiap bibir kelopak dan daunnya diukir rapi dan licin, warnanya merata dan cemerlang, tetapi kita tahu, ia bukan mawar yang asli.
Mana mungkin ya semua santri pakaiannya satu potongan dengan warna putih bersih menyilaukan, santriwatinya semua berbusana anggun kayak artis, kalau ke masjid kok telekung tampak baru-baru semuanya seragam? Dan ya, apa bisa semua watak perempuan memakai kerudung dengan gaya serupa, berwarna-warni sepadan dengan busana lainnya, simetri tanpa senget walau sedikit, dengan wajah sentiasa 'cantik berseri' dengan mekap yang ditampal?
Itu hanya menyebut soal pemakaian dan character design - yang walaupun tampak remeh, AMAT penting dalam mempengaruhi penceritaan sesebuah karya dramatis secara keseluruhan - belum lagi menyentuh soal lain, seperti garapan plot, dialog, dan rekayasa perwatakan secara keseluruhan.
Kesempurnaan, sebenarnya mencacatkan pemaparan sebuah ketulusan, kerana yang asli itu tidak pernah sempurna. Tidak semestinya yang asli itu harus cacat - tetapi tanpa cacat pun, yang asli dan tulus itu tidak pernah sempurna.
***
Karya pondokan saya masih dalam fasa kajian. Tunggu, saya mahu habisin Tiga Doa, Tiga Cinta garapan Nurman Hakim.
No comments:
Post a Comment