30/04/2011

aku penyair

Tadi Google nama sendiri. Ketemu profil saya dalam laman Grup Karyawan Luar Negara, ada foto yang dikutip daripada pelancongan ke Spain waktu tahun pertama dulu. Nampaknya tempoh 4-5 tahun tak banyak mengubah rupa saya.

Di hujung artikel profil yang panjang itu, ada sebuah puisi, tentu saja karya saya.


Penyair

Bukan seorang penyair
kalau dakwatnya pekat
tanpa campuran air mata.

Kalau puisinya siuman
tanpa bauran unsur-unsur gila.

Kalau nukilannya waras
tanpa kemabukan cinta.

Aku sang penyair
darah-darah dari luka
aku tadah jadikan tinta.

Kami lingkungan penyair
sadis-masokis yang menghambakan diri
kepada duka dan cacamerba
supaya kalian pembaca
dapat ketawa
tanpa kehilangan jiwa.

-adibah abdullah- 7.06 p.m.



Lama benar dah saya tak tulis puisi. Koleksi karya saya pun, banyak yang hilang sewaktu laptop (sebetulnya netbook) dicuri tahun lepas.

Mungkin saya perlu menggodek arkib YG lama dan mengumpul semula karya-karya yang pernah dikongsi bersama teman-teman sastera. Ya, saya perlu lakukan itu.

29/04/2011

penyakit umat

Suatu petang yang damai. Kepala, hidung dan kerongkong saya tidak berapa damai. Selesema. Satu badan sakit-sakit. Terpaksa keluar juga ke bandar kerana ada urusan penting. Bawa beg tangan dan satu beg pakaian, jenis yang boleh tarik dan ada tayar tu.

Saya duduk di kerusi kedua paling depan. Perjalanan aman saja untuk beberapa minit pertama, sehingga beberapa orang gadis berpakaian musim panas masuk ke dalam bas. Pakaian musim panas - gaun pendek fesyen berkemban yang terbuka atas dan bawah. Sungguh luas pula bahagian atas yang terbuka tu, agaknya sampai ke lumbar region tulang belakang.

Seorang lelaki kulit putih, berkepala hampir botak, dengan badan agak besar duduk di kerusi lipat paling hadapan. Matanya memandang gadis-gadis ranggi itu, dan tiba-tiba mula bercakap dengan kuat kepada salah seorang daripada mereka. Saya kurang jelas apa yang diperkatakan, tetapi agaknya dia mengatakan sesuatu yang berbaur kelucahan, kerana gadis itu menjawab dengan separuh-marah-separuh-lucu lalu tergelak-gelak.

Lelaki itu makin menjadi-jadi. Mulanya dia mengajak gadis-gadis ranggi itu tidur bersamanya. Kemudian dia mula bercakap tentang seks. Dengan suara yang lantang, berkali-kali dia menyebut tentang seks, mengatakan bahawa dia menyukai seks dan tidak ada apa-apa yang salah tentang perbuatan itu, serta bertanya orang lain sama ada mereka juga menyukai perbuatan itu seperti dia.

"Do you want to sleep with me?"
"I like sex. Sex is good. Do you like sex?"

Setiap kali lelaki itu bersuara lantang, gadis-gadis seksi dan ranggi di hadapannya akan tergelak-gelak, terkekeh-kekeh dengan amat gedik, seolah-olah dia sedang membuat jenaka paling lucu dalam dunia. They were giggling and giggling at every mention of sex by the deranged guy.

Saya yakin dia tidak waras. Frontal lobe syndrome barangkali. Saya buat-buat tidak nampak - tidak peduli - apatah lagi apabila lelaki itu mula menampakkan minat untuk mengacau saya, menujukan soalan-soalan lucahnya ke arah saya. Rasa berdebar mula datang.

Gadis-gadis seksi terus tergelak-gelak, tambah menggalakkan lagi sang lelaki berotak mereng untuk beraksi. Dia bangun dari kerusinya dan berjalan ke arah penumpang lain di dalam bas. Saya berdoa janganlah dia melanggar atau mencuit atau meng-apa-apa saya. Dia lalu di sebelah saya dan duduk tidak jauh daripada kerusi saya. Kata-kata tidak senonohnya terus dilontarkan, dan tidak jemu-jemu disambut oleh hilai kekeh gadis-gadis berbaju kemban di hadapan.

Destinasi saya sudah tiba. Saya menekan loceng dan bangun. Ketika itu kedengaran kata-kata yang cukup menakutkan saya.

"She's making the first move! I'm going to follow suit."

Oh Tuhan, dia mahu buat apa-apa kepada sayakah?

Tanpa menoleh, berlagak langsung tidak hirau, saya terus berjalan ke arah tempat simpanan berhampiran pintu keluar bas dan mengangkat beg pakaian. Saya yakin, lelaki itu bangkit dan berjalan ke arah saya sambil mengucapkan kata-kata yang sudah tidak jelas di telinga saya. Badan rasa sakit-sakit dan kepala berdengung kerana selesema. Kalau saya lebih sihat, mungkin saya tidak rasa secuak ini. Perlukah meminta tolong daripada pemandu bas? Di luar sana ada poliskah?

Gadis-gadis seksi terus mengilai terkekeh, dan saya dengar lelaki itu bersuara seperti memarahi mereka.

Pintu bas terbuka. Saya cepat melihat suasana di luar - jika lelaki tidak waras itu turun mengekori saya, ke mana dan bagaimana saya mahu menyelamatkan diri?

Tawakkal, tanpa menoleh ke belakang, saya turun dari tangga bas, berjalan pantas ke arah kanan dan menyeberangi jalan. Setelah beberapa puluh meter barulah saya berani memperlahankan langkah dan memandang sekeliling.

Tidak nampak kelibat sesiapa yang mencurigakan.

Alhamdulillah.

Saya tidak menyalahkan lelaki itu. Saya yakin, dia bukanlah manusia waras. Dia bukanlah orang pertama yang saya jumpa, yang mengalami masalah sexual disinhibition. Tidak tahu malu, berkelakuan biadab, dan menunjukkan kelakuan seksual yang di luar norma sosial.

Gadis-gadis seksi, pakaian kalian, akhlak kalian, tidak bermaruahnya kalian, itulah yang merangsang lelaki yang memang sudah punya penyakit itu menjadi teruja, dan melampiaskan keterujaannya secara membabi buta.

Rangsangan seksual yang bersepah-sepah di mana-mana sahaja - baik dalam bentuk multimedia, poster filem, majalah popular di kedai buku, gelagat ahli masyarakat (terutamanya perempuan)... semuanya itu, menumbuhkan bibit-bibit penyakit dalam hati manusia, dan tambah memburukkan hati-hati yang sudah berpenyakit. 'Penyakit' di sini bukanlah semata-mata masalah psikiatri seperti lelaki malang tadi, bahkan merujuk kepada kecenderungan naluri dan fitrah manusia yang dikotori oleh nafsu serakah.

Sudahnya, penyakit yang bercambah dan berkembang biak dalam jiwa, bahananya melanda secara rambang tanpa mengenal mangsa. Mungkin kerana itulah berlaku kes-kes di tanah air, di mana anak-anak dara sunti bertudung, berbaju kurung tiba-tiba diterjah perogol, mohon dijauhkan Allah. Namun peristiwa menyedihkan ini pula diambil sebagai bukti bahawa pakaian dan akhlak perempuan tidak ada kaitan dengan jenayah seksual.

Ibarat orang yang tidak merokok, tetapi menderita penyakit paru-paru kerana menyedut asap hembusan sang perokok.

Modesty and morality are not entirely personal issues. Maruah dan akhlak bukanlah isu peribadi sepenuhnya, kerana setiap perempuan dan lelaki adalah entiti-entiti unik yang membentuk sebuah masyarakat, yang akan dipengaruhi pula oleh kerja buat setiap ahlinya.

Saya menerima konsep penguatkuasaan moral. There is no such thing as 'dosa peribadi' or personal sin yang tidak boleh dicampuri orang lain, melainkan anda tinggal di mana tiada makhluk Tuhan lain yang berkongsi ruang dengan anda, dan boleh jadi akan menanggung tempias akibat maksiat anda.

27/04/2011

hidup di atas bas

Semalam, pada waktu sekitar ini, saya sedang terpisat-pisat menahan kantuk, mengheret kaki menuruni bas yang sudah dikenderai selama beberapa jam untuk menukar ke bas yang lain pula. Nyaris tertinggal diari hitam dan sebuah buku ilmiah yang dikelek sebagai teman perjalanan. Terkejar-kejar berpatah balik mencari diari dan buku yang ditinggalkan tadi di dalam bas yang sudah dikosongkan... mujurlah tak kena marah.

Hajat mahu berdoa, munajat banyak-banyak sepanjang perjalanan pulang. Doa saat permusafiran, bukankah lebih ringan terbangnya? Insan yang diberati dosa seperti saya ini tentulah perlu memburu sebanyak mungkin saat-saat mustajab doa. Namun mata terlalu berat, bibir yang terkumat-kamit cepat saja kehilangan biji butir bicaranya apabila lena melanda tanpa dapat dihambat-hambat. Sementara bas meluncur laju membelah malam yang menganjak pantas juga menuju siang.

Sedar-sedar, sudah sampai Manchester Airport. Akhirnya tiba ke Chorlton Street. Jam empat pagi. Mana ada bas nak balik rumah. Saya menghitung-hitung, kalaulah dapat terus pulang, sempat juga tidur sejam dua sebelum mandi dan bersiap-siap ala kadar untuk ke klinik di Bury pagi nanti. Bukan dekat tu.

Di luar gelap gelita, ada beberapa orang pengembara - yang baru tiba, atau menanti perjalanan seterusnya - duduk-duduk, merayau-rayau, mungkin melayan lelap di atas bangku-bangku besi dalam stesen. Lebih baik melepak di sini daripada bersejuk gigil di perhentian bas menanti bas ke Rusholme yang entah bila akan mula berkhidmat.

Alhamdulillah, mata saya tidak berat lagi. Buku himpunan doa Fortress of a Muslim hadiah salah seorang kakak saya keluarkan dari beg tangan. Dah lunyai buku itu akibat diperosokkan dalam beg tangan dan dibawa ke mana-mana saja. Doa-doa dari hadith Nabi SAW, diikuti oleh permintaan-permintaan saya sendiri, sempat juga dititipkan kepada Tuhan dinihari tadi. Moga-moga keberkatan musafir dan kebeningan hujung malam masih berbaki.

Jam tujuh pagi, saya tewas juga dengan bantal sendiri. Hajat mahu terus bergerak ke Bury, tapi badan dan mata mahu tidur hingga jam sembilan. Perjalanan ke Bury, sejam setengah untuk pergi, sejam setengah untuk pulang, setiap kali menaiki tiga buah bas.

Hidup saya habis atas bas dan kaki yang berjalan saja nampaknya.

22/04/2011

cold and coughs

I tried to update this morning from my smartphone, by accessing LJ Mobile. Alas there seems to be too much glitches (or was it me being technologically incompetent?)

I'll try again later. It'd be so much more fun and journal-like if I can use LJ Mobile to update and do other things.

As of now, I am having a bout of cold. Runny nose, headache, sore throat, cervical lymph nodes making sure their presence are known... those kinds of things. Glad I don't have much of a temperature (yet), and still able to be up and about doing things.

Doing four weeks in a children's ward, where the kids cough, wheeze, sneeze into my face and drool all over my headscarf, I thought naaaah, these kids' germs are harmless. I was pretty sure I'll undergo the whole four weeks unscathed while enjoying the company of immensely cute, lively, big-eyed (albeit sick) kids.

Nevertheless it was on the very last day that my throat starts to get sore, and very rapidly the irritation spread to my nose.

Kifarah dosa, alhamdulillah.

I think I'll wear a surgical mask when I go out.

mula-mula semula

Saya mempunyai sebuah diari. Moleskine dengan kulit faux-leather hitam, ada tali hitam elastik di bahagian luar, dan helaian muka suratnya yang putih-putih cair itu kosong tidak bergaris. Tidak salah saya, ia dibeli hampir dua tahun yang lepas di toko Blackwell's.

Kata saya kepada N, yang memang suka menulis diari sejak usia entah semuda mana, kausuka tulis diari, aku juga mau cuba, tengok apa rasanya. Mungkin jadi pengalaman katarsis, muhasabah yang kritis, koleksi peristiwa, detik-detik peribadi yang terlalu peribadi... yang jika 10 tahun lagi saya masih hidup, akan dibaca semula dengan penuh nostalgia.

Boleh jadi kalau 10 tahun lagi, atau 20 tahun lagi, saya sudah jadi manusia terkenal, diari itu akan jadi buruan... ditawarkan puluhan ribu untuk diterbitkan...

sudahlah, kautahu terkenal serupa itu bukanlah apa yang kaumahu, dan kalau kaubetul jadi popular pun, apa diari conteng-conteng kau itu mahu kaujaja biar satu dunia rasa kau itu mereka punya untuk dikasihani atau dijadikan bahan ketawa?

Hampir dua tahun berlalu, hanya beberapa helai muka surat putih-putih cair itu yang bertulis. Itu pun bukan 'catatan diari' betul-betul. Hanyalah gurisan-gurisan rawak, ayat-ayat al-Quran yang menjadi inspirasi sastera dan ruhi untuk saya, mungkin ada sebaris dua puisi. Ironi benar kerana 'diari yang bukan diari' itu, saya kelek hampir ke mana sahaja saya pergi. Barangkali dengan harapan tiba-tiba akan mampir melanda ilham dan kemahuan untuk memenuhkan helaian putih-putih cair itu dengan dakwat pena hitam basah Pilot kegemaran saya.

Harapan itu hampir tidak pernah menjadi nyata.

Bukan hanya untuk diari hitam Moleskine saya, tapi juga untuk kertas-kertas nota lain yang pernah saya angankan menjadi tanah putih untuk kebun cerita, atau setidak-tidaknya kebun puisi, saya. Sudahnya ia akan dipenuhi bukan dengan lakaran karya yang tersusun cantik, tetapi conteng-conteng merapu. Nama-nama, lukisan, nombor, frasa, lirik lagu kegemaran, bait puisi yang terlintas... lintang pukang seperti landskap yang ditata secara membaling-baling batuan, bangku kayu dan pokok bunga sesuka hati.

Jari-jari saya ini sudah terlalu rasi berlari di atas papan kekunci komputer, sehingga ia terasa kejang dan ilham mogok tidak mau mengalir apabila dipujuk untuk memegang pen di atas kertas. Jadi saya beralah kepada mahunya.

baiklah kedua-dua tanganku, aku jinakkan semula kamu dengan papan kekunci, mudah-mudahan lambat laun sendi-sendi kamu yang kanan akan longgar untuk mencoret karya di atas kertas pula, atau setidak-tidaknya mengisi laman-laman kosong diari