19/10/2011

angin dan debu

cinta adalah hidup
rindu adalah mati.

cinta itu bait-bait syair yang mengalir
rentaknya akur pada denyut hayat
adakalanya membuak dari luka pedih
amuknya menggempa pada bumi
memetir pada langit
hangat seperti lahar api
benderang seperti matahari.

rindu itu lukisan yang sudah kering tinta
melakar pada kanvas masa
renungan mata sedalam lautan
awan kelabu terus abadi memendam hujan
selama-lamanya kaku dan bisu
diam seperti gunung-ganang
dingin seperti cahaya bulan.

cinta tanpa rindu
padang pasir meribut tanpa wadi
rindu yang tidak pernah dikunjung cinta
adalah salji kutub utara
menanam kisah dari kurun berjuta
hidup jadi bererti
kerana adanya mati
cinta jadi manis dan wangi
diperam waktu
dalam tempayan rindu.

cinta memberi nadi
hingga lukisan mula menari
rindu memberi wajah
sampai syair terukir jadi potret indah
ketika tiba waktunya bertemu
kewujudan dua menjadi satu
bertukarlah mati menjadi angin
dan hidup menjadi debu


Grand Kampar Hotel
1.49am